Luka Pertama Yuna


Berikutan berita mengejutkan peminat Yuna yang dipaparkan di dalam salah sebuah akhbar tempatan, pelbagai implikasi telah dilemparkan ke arah penyanyi bertudung yang sedang popular dengan lagu “Dan Sebenarnya” ini. Artikel tersebut mempersoalkan kebenaran alasan yang diberikan Yuna sebagai sebab tidak dapat memenuhi undangan sesi fotografi bersama suratkhabar tersebut.

Yang terbaru, Yuna sendiri telah menulis respon ekslusif buat peminatnya di blognya di dalam bahasa Inggeris. Fenomena indie yang bersuara mirip Corrine Bailey Rae dan berbakat bermain gitar dan piano itu amat terkilan dengan perkembangan terbaru ini, antara “luka” pertama dialaminya sejak melonjak naik ke pentas perdana industri muzik tanahair.

Reaksi Yuna menunjukkan impak terhadap perasaan peribadinya di ambang memulakan kariernya yang baru mahu meningkat naik ke tahap yang seterusnya bagi mengejar cita-citanya sebagai penggiat muzik berwajah baru di negara ini.

Yuna menulis:

“Saya begitu terkejut melihat satu artikel dalam suratkhabar hari ini mengatakan saya menipu, memberi alasan seperti pakcik saya meninggal untuk mengelak dari melakukan sesi fotografi. Masa mula-mula baca tu, saya terasa seperti diri saya dijadikan mangsa. Tapi bila difikirkan balik, Alhamdulillah, Allah telah memberikan saya segala kesabaran untuk tidak membiarkan artikel ini meninggalkan kesan negatif ke atas diri saya. Bila sebuah akhbar memperlakukan kita seperti ini, Tuhan saja yang tahu betapa sengsara kesannya terhadap orang tersebut dan keluarganya.

Isu pertama, tajuknya. 'Pakcik Meninggal Ke Yuna?

Pada saya, ini tidak patut. Saya dibesarkan ibubapa saya (dan pakcik tersayang) dan datuk nenek saya untuk jangan bermain dengan perkara seperti kematian.

Saya akui saya amat sibuk ketika itu (saya di pertengahan peperiksaan akhir, nak buka kedai baru (butik indie), menjaga akaun kedai, ditambah kerja-kerja pra-produksi) dan kami akan menolak dengan baik sebarang tawaran photoshoot yang diterima dalam masa itu. Memang ada beberapa sesi fotografi yang ditolak, dan dimaklumkan kepada mereka yang kita terlibat dalam penggambaran bersama RTM (untuk ‘Xpresi Kembara’, sebuah rancangan travelog muzikal). Dan saya melakukannya dengan cara yang berhemah. Sesiapa dari mana-mana akhbar yang pernah bekerjasama dengan kita tahu bagaimana diri saya sebenarnya.

Saya tidak akan sesekali memberi alasan seperti pakcik saya meninggal. Perkara ini cukup mengganggu saya dan keluarga sebab saya amat rapat dengan pakcik-pakcik saya, dan mereka semuanya sihat-sihat belaka dan masih hidup. Mereka individu yang menakjubkan. Anda patut bertemu dengan mereka.

Ingin saya katakan di sini, kenyataan di dalam akhbar-akhbar itu tiada kebenarannya. Saya tidak menipu suratkhabar. Kita memang sedang terlibat dengan penggambaran RTM, dan (untuk mengelak dari khabar angin yang lain bermula) tiada siapa yang sudah meninggal. Pakcik saya, ayah, emak, sepupu, ahli-ahli band saya, Wawa ... semuanya hidup lagi. Alhamdulillah.

Tapi tidak lama dahulu, kami menemui satu lagi artikel yang memberitahu sebenarnya pakcik Stacy yang sudah meninggal. Saya dan keluarga ingin mengucapkan takziah kepada Stacy dan keluarganya.

Saya benar-benar kesal atas masalah yang telah timbul, tapi ingin saya nyatakan yang saya tidak akan memberi sebarang alasan untuk mengelak dari melakukan photoshoot. Jika saya tidak dapat melakukannya, ia bermakna saya memang tidak dapat melakukannya. Dan untuk itu saya benar-benar kesal.

Saya tidak meminta apa-apa di sebalik penulisan saya, cuma saya rasa peminat saya patut diberikan penjelasan. Sesungguhnya saya tidak berhutang sebarang jawapan pada orang lain. Saya akui, ada masanya saya terpaksa menolak tawaran. But I know better than to lie to the paper saying that my uncle passed away.

Ia bukan satu lawak. Ia harus jujur. Saya harap anda faham betapa pentingnya perkara ini pada saya. Ia tanggungjawab saya untuk menjelaskan keadaan. Saya tak mahu sesiapa panik!

Saya faham para wartawan hanya membuat kerja mereka. Dan saya tahu kebolehan mereka menulis apa sahaja tentang sesiapapun. Dan saya tahu, beginilah keadaannya di dalam industri muzik tempatan. Tetapi saya cuma seorang gadis yang sedang menjalani hidupnya, melakukan apa yang perlu untuk melalui kehidupan. Saya mencuba yang sebaik mungkin untuk melakukan tugas saya.

Saya tidak mampu memuaskan hati semua orang. Untuk itu, saya meminta maaf."

Post a Comment

0 Comments