Suria FM Rai Pihak Media


Stesen radio Suria FM semakin mendapat tempat di hati pendengar. Buktinya berdasarkan rating terkini yang dikeluarkan oleh AC Nielsen, dimana jumlah pendengarnya telah meningkat sebanyak 30 peratus jika dibandingkan pada tahun lalu.

Peningkatan tersebut bukan sahaja disebabkan oleh penyampai radionya atau lagu-lagu menarik yang disiarkan tetapi turut berkait rapat dengan sokongan padu yang diberikan oleh pihak media terhadap stesen radio itu selama ini.

Pelbagai publisiti serta cerita positif yang diberikan oleh pihak media membantu stesen radio itu memperkukuhkan namanya. Oleh sebab itu untuk menghargai pihak media, stesen radio yang mula beroperasi sejak 30 Disember 2005 itu telah menganjurkan malam media baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin dalam ucapannya memberitahu majlis yang diadakan itu bertujuan untuk menghargai pihak media cetak dan elektronik yang banyak memberikan sokongan di dalam setiap majlis yang dianjurkan oleh Suria FM. Malah dia mengakui majlis sebegitu akan menjadi acara tahunan mereka.

"Ini adalah cara kami untuk menghargai pihak media. Di dalam majlis seumpama ini, kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan malah ia mampu menjadi medan pertemuan di antara pihak media, selebriti dan juga penyampai radio," katanya yang tampil santai dengan kemeja biru dan seluar panjang putih.

Mengimbau kembali perjalanan majlis yang dipenuhi dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah itu, 'Puteri Hang Li Po' yang bertindak sebagai pengacara berjaya menjalankan tugasnya dengan baik. Bagaimanapun, persembahan Aizat yang menyanyikan lagu “Kau Aku” dan Stacy dengan lagunya “Pakai Buang” berjaya menggamatkan acara.

Majlis dibuka dengan persembahan Nubhan yang menyanyikan lagu barunya, “Seadanya Aku”. Sebelum menyanyikan lagu tersebut, Nubhan sempat mengucapkan ‘Selamat Hari Bapa’ kepada Engku Emran.

Selepas Nubhan, Liyana Jasmay menghangatkan pentas dengan lagu “Tak Percaya Cinta” sebelum Noryn Aziz menggamatkan dewan dengan alunan vokalnya yang mantap. Ternyata penampilan Noryn yang ringkas pada majlis itu langsung tidak mencacatkan persembahannya.

"Saya bakal mengadakan persembahan di Istana Budaya bersama Atilia tidak lama lagi. Kepada sesiapa yang mempunyai kelapangan, silalah menonton persembahan saya di sana," ujar Noryn ceria apabila ditanya oleh pengacara majlis tentang aktiviti seni terbarunya.

Dafi juga tidak kurang hangatnya ketika menyanyikan lagu “Seumur Hidup” diikuti oleh Ramlah Ram yang sempat memperkenalkan lagu barunya. Fazli Zainal cukup mendayu ketika menyanyikan lagu “Kalbu” manakala Siti Sarah sangat bertenaga ketika mendendangkan lagu “Malis Cinta”.

"Malis ini maksudnya 'berpaling'. Ramai yang bertanya kepada saya tentang maksudnya dan selepas ini saya harap semua peminat tahu maksud 'malis'," ujar Sarah yang bijak menarik perhatian penonton pada majlis tersebut.

Aril AF7 tidak ketinggalan beraksi dengan menyanyikan lagu “Terima Kasih Cinta” yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh penyanyi dari seberang, Afgan dan diikuti oleh Azharina Azhar yang menyampaikan lagu barunya, “Rasa”.

Gelagat Aizat yang tersasul menyebut nama sebuah stesen radio lain ketika di atas pentas berjaya menggamatkan suasana. Akibatnya Aizat didenda mencium pipi Puteri Hang Li Po. walaupun malu-malu, Aizat ternyata sporting dan bijak berkomunikasi dengan penonton.

Ameng Spring yang telah lama tidak muncul berjaya menarik perhatian ramai ketika menyanyikan lagu popularnya “Bougainvilla”. Seluruh dewan yang sudah sekian lama merindui vokalnya, menyanyi bersama-sama Ameng.

Sebagai penutup, Hafiz AF7 dan Stacy menghangatkan pentas dengan cara tersendiri. Hafiz menyanyikan lagu “Masih Jelas” manakala Stacy tampil mempersembahkan lagu “Pakai Buang”.

Menurut Stacy, majlis yang diadakan Suria FM itu sangat bermakna dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

"Saya juga mahu mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Suria FM yang sudi memberi peluang kepada saya untuk mengadakan persembahan. Saya harap kerjasama ini akan berterusan dan memberi faedah kepada industri seni kita," katanya.

Selain artis popular, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran penyampai radio Suria FM seperti Tuah, Zizi, Naim, Bob, Zaff, Akhtar dan Lin.

Post a Comment

0 Comments