20 Band Indie Gegarkan Menara KL


Band indie semakin mendapat tempat di kalangan peminat muzik tempatan. Banyak peluang yang diberikan oleh pelbagai pihak untuk mereka menonjolkan bakat serta mengembangkan kerjaya seni masing-masing.

Terbaru, KL Tower Indie Fest 2009 yang akan diadakan di Menara Kuala Lumpur pada 3 dan 4 Julai depan dijangka dapat membuka ruang dan platform kepada anak muda berbakat, kreatif serta berinovasi untuk membuktikan bakat yang mereka miliki.

Menggabungkan 20 band indie tempatan, program ini telahpun dimasukkkan ke dalam diari tahunan Manara KL. Dijangkakan, bukan sahaja peminat tempatan malah peminat antarabangsa juga akan membanjiri Menara KL semata-mata untuk menyaksikan persembahan bertenaga daripada band indie tempatan.

"Setelah penganjuran kali pertama pada Julai tahun lalu yang mencatatkan kejayaan memberangsangkan dimana kira-kira 4,000 peminat telah hadir, maka tahun ini saya menganggarkan lebih 7,000 peminat indie akan membanjiri Menara KL.

"Saya yakin dengan adanya program seumpama ini, ianya mampu membawa muzik indie ke peringkat antarabangsa apabila ianya mula dikenali dan diminati ramai," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Zulkifli Mohamad.

Salah sebuah kumpulan yang mengambil bahagian di dalam festival tersebut, The Times ketika ditemui memberitahu mereka sangat menyokong program seumpama itu. Katanya band indie kini semakin mendapat tempat di hati peminat dan dia yakin persembahan seperti itu mampu memberikan pendedahan positif kepada band indie di Malaysia khususnya kumpulan yang sedang meningkat naik.

"Dengan adanya program ini, peminat yang kurang mengenali kumpulan indie di Malaysia, boleh mendekati dan menikmati muzik kami. Sebelum ini banyak pihak yang beranggapan negatif dengan kumpulan seperti kami sedangkan mereka tidak tahu tentang lagu atau muzik yang kami nyanyikan.

"Namun kami gembira kerana pasaran muzik sekarang semakin berubah dan masyarakat kini boleh menerima kehadiran kami dengan baik. Namun kami mengharapkan ruang yang lebih besar untuk kami membuktikan kebolehan kami," ujar The Times yang bakal melancarkan single terbaru tidak lama lagi.

Kumpulan yang dianggotai oleh tiga orang anak muda itu juga menyatakan perasaan gembira kerana diberi peluang untuk mengadakan persembahan di dalam festival tersebut.

Katanya apabila 20 band indie bergabung, sudah pasti suasana akan menjadi lebih meriah dan impak yang akan diberikan kepada penonton lebih besar. Bagaimanapun mereka tetap mengharapkan sokongan peminat bagi menjayakan program tersebut.

"Dengan perancangan untuk membawa muzik band indie ke peringkat antarabangsa, saya yakin ia mampu direalisasikan. Mungkin ia akan mengambil sedikit masa tetapi jika band indie terus diberi peluang tidak mustahil ianya akan berlaku.

"Ini kerana muzik adalah sesuatu yang universal dan semua orang di pelbagai peringkat umur boleh menikmati muzik yang mereka sukai. Mengenai tanggapan yang mengatakan band indie tidak sesuai dengan masyaraklat Malaysia, saya berpendapat ianya tidak tepat.

"Ini kerana kebanyakan lagu yang kami nyanyikan mempunyai mesej yang baik dan sesuai untuk semua golongan. Nasihat saya agar mereka mendengar dan menilai lagu kami terlebih dahulu," katanya.

Festival ini akan bermula pada 3 Julai mulai jam 10 pagi hingga 10 malam. Pelbagai gerai menjual hasil kraftangan dan kreatif seperti T-shirt, cakera padat, rantai kunci dan barangan cenderahati turut diwujudkan untuk memeriahkan lagi karnival tersebut.

Selain itu, turut diadakan persembahan band-band baru pada jam 3 petang. Acara kemuncaknya akan diadakan pada 4 Julai mulai jam 12 tengahari hingga 12 malam.

Antara kumpulan yang mengambil bahagian ialah A.C.A.B, Bunkface, Bittersweet, Couple, Gerhana Ska Cinta, Komplot, Koffin Kanser, Love Me Butch dan Laila. Kumpulan lain yang turut mengambil bahagian ialah Pinheads, Redemption, Republic Of Brickfields, Restraint, Subculture, Statik, Sinopsis, Skudap Skudip, The Splatters dan The Rhaman.

Post a Comment

0 Comments