“Cukuplah Berdiskriminasi” – Ramlah Ram


Ketika single “Ketentuan” mula diperdengarkan dicorong radio tempatan awal 2008, ramai yakin penyanyi yang pernah mencipta fenomena ketika akhir 80-an itu bakal mencipta kembali zaman kegemilangannya.

Populariti yang diraih lagu “Ketentuan” bukan sedikit, namun pada awal kemunculannya, Ramlah Ram terpaksa berdepan perkara paling menyakitkan bagi seorang anak seni – apabila ada stesen radio enggan memainkan lagu itu atas alasan tiada permintaan peminat.

“Tak boleh nak salahkan pihak radio juga, itu hak mereka sebagai tuan punya stesen. Tapi harapnya selepas ini tiada lagi diskriminasi kepada lagu-lagu baru yang dinyanyikan penyanyi senior. Kami pun ingin memeriahkan industri hiburan tempatan dan bersaing secara sihat,” kata penyanyi yang cukup sinonim dengan komposer tersohor, Datuk Dr. Ahmad Nawab ini.

Selepas setahun, lagu “Ketentuan” dan “Dirgahayu” membawa penyanyi genit ini kembali semula ke arena hiburan tempatan, akhirnya Ramlah Ram muncul dengan album penuh terbaru berjudul sama. Bukan itu sahaja, “Ketentuan” juga menjadi Lagu Terbaik Hit’s 1 terbitan RTM tahun lepas.

Kerinduan terhadap nyanyian sentiasa membara dan semangatnya tidak pernah luntur untuk menghasilkan album baru walaupun kali terakhir dia tampil dengan album solo ke-11, ‘Sekeping Cinta Sehampar Janji’ yang berentak etnik kreatif pada 1998.

“Sebelas tahun lamanya saya menunggu untuk menghasilkan album baru. Bukan kerana tiada permintaan, sebaliknya saya gementar, takut-takut lagu saya nanti tidak dapat memuaskan hati pendengar. Namun, apabila ada permintaan daripada peminat yang selama ini menjadi penyokong kuat kerjaya Ramlah Ram, saya akur dan bersedia membuat comeback,” katanya.

Mengakui sukar menggambarkan perasaannya selepas album ‘Ketentuan’ sempurna dirakam, anak kelahiran Kesang, Muar, Johor ini hanya mampu mengalirkan air mata sebagai tanda syukur ke hadrat-Nya.

“Adatlah, apabila sesuatu album siap, perasaan kurang puas hati pasti timbul. Ketika inilah baru perasan ada sesuatu yang tertinggal. Namun, saya mengakui sudah melakukan yang terbaik dan bersyukur seadanya,” tambah Ramlah Ram yang kini mempunyai laman sesawang sendiri.

Majlis pelancaran ‘Ketentuan’ turut dihadiri peminat setia, Ramlah Ram Group (RRG) yang sudah dua tahun ditubuhkan. Pada majlis itu juga RRG dilancarkan secara rasmi serta pengenalan laman sesawang rasmi penyanyi ini, www.ramlahram.com.

‘Ketentuan’ menyaksikan kerjasama penyanyi ini bersama penerbit dua generasi seperti M Nasir, Fauzi Marzuki, Aidit Alfian, Ad Samad, Tam Spider, Azlan Abu Hassan, Fedtri Yahya, Hazami, Azam Dungun, Sharon Paul dan Sulu Sarawak

“Setiap komposer ada keistimewaannya. Masing-masing punya cara tersendiri dan saya senang bekerjasama bersama mereka,” akui penyanyi yang mula dikenali sejak 25 tahun lalu.

Akui sukar jual album
Siapa mampu lupa baju bercorak hati ketika muncul sebagai johan Juara Lagu 1988 melalui lagu “Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu)” itu. Malah, melalui lagu itu juga dia muncul sebagai satu-satunya artis solo wanita yang berjaya mencatat jualan album sebanyak 450,000 unit.

Melihat kepada pasaran album sekarang yang tidak lagi semeriah dulu, Ramlah Ram mengakui dia tidak berharap dapat mengulangi kejayaan yang pernah dikecapi 20 tahun lalu.

“Saya buat album ini bukan berharap dapat jual ratus ribu. Saya akui pasaran sekarang tidak sama seperti dulu tambahan dengan keadaan ekonomi sekarang. Dalam era digital hari ini, ada bermacam cara untuk menjual lagu antaranya melalui jualan nada dering. Pasti ada cara, jika tidak takkanlah syarikat rakaman sanggup mengeluarkan modal dan lambakan album baru dipasaran juga sangat menggalakkan,” katanya.

Artis senior seperti Ramlah Ram masih kekal kerana masih mengekalkan suara seperti ketika mula bergelar artis serta berdisiplin. Malah, dia juga mengakui sudah bersedia turun padang mempromosi album terbarunya.

Post a Comment

0 Comments