Liyana Jasmay Tak Mahu Kongsi Kisah Cinta


Cantik, comel dan ceria, itu gambaran serba sedikit tentang pelakon dan penyanyi genit ini. Dalam usia 21 tahun, pencapaian Liyana Jasmay dalam bidang lakonan memang boleh dibanggakan.

Liyana seorang pelakon berbakat. Kalau tidak masakan dia dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem ‘Castello’.

Setelah membintangi pelbagai filem dan drama, Liyana maju setapak lagi apabila dia memberanikan diri mencuba bidang nyanyian. Singlenya yang berjudul “Aku Tak Percaya Cinta” kini menjadi siulan ramai. Siapa sangka pelakon bersenyuman manis ini rupa-rupanya ada bakat menyanyi.

Mungkin ada yang berpendapat, vokalnya biasa-biasa sahaja. Tetapi agak terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Ini kerana Liyana atau lebih mesra dengan panggilan Nana ini masih belum muncul dengan album. Mana tahu, albumnya itu nanti akan membuktikan sebaliknya.

Sebagai seorang pelakon dan penyanyi popular, Nana tidak terlepas daripada gosip. Salah satu yang menarik perhatian peminat, sudah pastilah kisah percintaannya dengan penyanyi berbakat besar, Aizat. Sumber mengatakan pasangan ini sedang asyik bercinta dan setiap hari mereka sanggup bergayut di telefon berjam-jam lamanya. Pasti ramai yang ingin tahu sejauh mana seriusnya perhubungan pasangan ini bukan?

Nana yang ditemui ketika Metadome All Star Road Tour baru-baru ini menjelaskan yang dia tidak mahu mengulas lanjut tentang hubungannya dengan Aizat.

“Cukuplah saya katakan yang kami hanya berkawan baik. Saya tidak mahu mengulas lanjut. Saya bukan jenis yang suka bercerita tentang kisah cinta kepada semua orang. Siapa yang tahu, tahulah. Saya lebih suka berahsia tentang perkara ini. Lebih baik saya bercerita tentang karier saya bukan?”

Itulah jawapan yang diberikan oleh Liyana apabila diajukan soalan tentang percintaannya dengan Aizat. Sebaliknya Nana lebih teruja untuk bercerita tentang album terbarunya yang akan berada di pasaran dalam sedikit masa lagi.

“Album saya itu nanti hanya mempunyai lima buah lagu dan ia berkonsepkan ‘pop teen rock’. Saya memilih konsep ini sebab ia sesuai dengan jiwa saya sebagai seorang remaja yang ceria. Paling menarik, saya turut menulis lirik untuk lagu “Penyelamat Cinta”.

“Lagu yang saya sendiri berikan tajuk ini digubah oleh Aizat dan ia mengisahkan tentang percintaan lelaki dan perempuan. Idea untuk menulis lirik ini sebenarnya datang secara tiba-tiba dan saya sendiri tidak sangka boleh lakukannya,” cerita Nana yang mengakui dia suka menyanyi kerana ia boleh melegakan tekanan.

Ditanya mana satu pilihan utamanya antara berlakon dan menyanyi, Nana menjelaskan dia seronok melakukan kedua-duanya.

“Kedua-dua bidang ini mampu memberi kepuasan kepada saya. Saya seronok berlakon dan tidak mungkin saya akan meninggalkan bidang ini dalam waktu terdekat. Dengan menyanyi pula ia boleh mendekatkan diri saya dengan peminat.

“Ini kerana sudah pasti akan akan terlibat dengan beberapa persembahan pentas. Contohnya Metadome All Star Road Tour ini. Semasa mengadakan persembahan inilah saya berpeluang beramah mesra dengan peminat saya. Melihat peminat enjoy dengan persembahan saya membuatkan saya cukup seronok!”

Liyana akan sibuk mempromosi filem terbarunya tidak lagi. Antara filemnya yang akan berada di pawagam tidak lama lagi ialah ‘Papadom’ pada Oktober dan ‘Pisau Cukur’ pada November depan.

Post a Comment

0 Comments