Malam Nada Biru, Ringkas Tapi Hebat

Kala menjejakkan kaki ke Lambang Sari, Istana Budaya malam tadi, gelanggang nyanyian untuk Malam Nada Biru yang menampilkan Atilia dan Noryn Aziz cukup ringkas. Barisan pemuzik, seramai tujuh orang ditempatkan di bahagian tengah, pada fikiran cukup mudah dan kemas.

Namun, keringkasan susun atur tidaklah memberikan interpretasi sebenar konsert Malam Nada Biru, kerana suasana bertukar hangat apabila penyanyi genit, Atilia memulakan persembahan.

Lambang Sari yang memuatkan sekitar 280 penonton hampir penuh. Mereka yang hadir dari pelbagai golongan di sekitar Kuala Lumpur cukup terhibur dengan persembahan gadis kecil molek ini. Mereka kelihatan sama-sama bertepuk tangan dan mendendangkan lagu-lagu yang disampaikan Atilia.

Kehangatan dan kehebatan persembahan Atilia pada Malam Nada Biru berjaya menguasai suasana di dalam Lambang Sari, apabila menyampaikan sebuah karya nostalgia iaitu “Glombang”yang pernah disampaikan oleh ibunya, Salamiah Hassan.

Bukan ingin membuat perbandingan siapa lebih hebat, tetapi, dengan gubahan semula lagu “Gelombang”, tidak dapat disangkal bahawa Atilia bakal mencapai tahap seperti yang pernah dikecapi oleh ibunya.

Dengan menelusuri hampir 45 minit persembahan dan rangkaian lagu-lagu dari album, antaranya seperti “Indah”, “Harus Bagaimana”, “Leka”, “Selalu Denganmu”, penonton seperti terpukau menyaksikan persembahan tersebut.

“Ranjau”, nyanyian Atilia dan diiringi dengan tiupan trumpet dari Eddie Yuen pada finale persembahan segmennya memberikan kesan hebat. Membiarkan penonton dengan satu kenangan cukup indah.

Malam Nada Biru berehat sekitar 15 minit sebelum memberi laluan kepada penyanyi R&B soul popular, Noryn Aziz.

Dengan mengenakan busana ciptaan Sonny San, Noryn tampil di tengah Lambang Sari dengan tepukan cukup gemuruh dari penonton pada malam itu. Suasana yang sememangnya masih berbau kehebatan ketika set Atilia, masih dirasai penonton yang menyambut Noryn dengan lebih hebat lagi.

Memulakan persembahan dengan lagunya yang cukup popular, “Sanubariku”, Noryn mengorak langkah dengan memberikan sebuah aksi yang cukup mengasyikkan.

Penonton seolah-olah menjadi sebahagian persembahan Malam Nada Biru, apabila Noryn cukup pandai berinteraksi bersama mereka. Satu kemahiran yang cukup sukar didapati pada penyanyi-penyanyi lain. Ini menjadikan Malam Nada Biru yang menampilkan Atilia dan Noryn satu peluang yang tidak boleh dilepaskan.

Cukup menarik apabila persembahan Noryn, iaitu “Bila-bila Saja” diiringi bass Zailan Razak, mendapat sorakan peminat. Komunikasi antara Noryn dan Zailan membuatkan mereka di dalam Lambang Sari semakin teruja.

Klimaks persembahan Malam Nada Biru, kala Atilia dan Noryn menyampaikan sebuah lagu duet iaitu “Cerita Cinta”. Gandingan cukup mantap seolah-olah mampu mengegarkan Istana Budaya. Kedua-duanya mempunyai aura yang hebat ditambah pula dengan elemen muzik terbaik oleh Mujik Majik.

Menariknya, persembahan Malam Nada Biru ini turut dihadiri rakan-rakan artis seperti Ning Baizura, Yasmin Hani, Aishah Sinclair dan ramai lagi. Bagi Noryn, persembahan malam itu ditemani oleh ayah dan ibu tercinta manakala Atilia pula, ibu serta mentornya, Salamiah Hassan.

Bukan itu sahaja, dengan kedatangan Dato’ Seri Dr Effendi Norwawi dan isteri Datin Seri Tiara Jacquelina cukup bermakna dengan membiru sokongan kepada bakat-bakat tempatan.

Malam Nada Biru akan berlangsung lagi malam ini. Dengan persembahan penuh keintiman oleh Atilia dan Noryn, konsert ini sewajarnya tidak harus dilepaskan oleh peminat-peminat seni suara terutamnya di sekitar Kuala Lumpur.

Persembahan ini diiringi oleh Eric Lee (piano), Sze Wan (keyboard), Jamie Wilson (gitar), Zailan Razak (bass), Lewis Pragasam (dram) dan Steve Thornton (percussion).

Tiket-tiket berharga RM80 masih boleh didapati di kaunter Box Office Istana Budaya dengan menghubungi 03-41498600 atau layari www.ticket2u.biz.

Post a Comment

0 Comments