Norish Karman: Tidak Semua Orang Suka Kita


Bukan mudah menjadi insan bernama Norish Karman. Semua yang dilakukannya, serba tak kena.

Permohonan tuntuan harta sepencarian dari Datuk Hashimuddin Abdul Kadir contohnya. Apa yang dituntut dari bekas suami, dilihat sebagai keperluan asas untuk meneruskan kehidupan bersama tiga orang anak mereka.

Tetapi jika membaca laporan akhbar baru-baru ini, Norish dilihat sebagai membuat tuntutan yang melampau dengan meminta sebanyak lima buah kereta, lima buah rumah dan saham di tiga buah syarikat.


“Bila kita cerai, mahkamah memberi kita ruang untuk menyenaraikan apa yang kita hendak. Kita diberi lima pilihan. Lima pilihan kereta, rumah. Dari senarai itu, Datuk lah yang pilih mana yang nak diberi mengikut kemurahan hatinya. Gila ke saya nak minta lima buah kereta. Maintenance tu siapa yang nak tolong?

“Gaji dia berjuta-juta. Jika dia nak beli (Perodua) Kancil untuk saya, siapa yang malu? Anak-anak saya anak orang kaya, jadi apa salahnya jika saya minta. Saya suka 4 Wheel Drive yang sudah saya biasa bawa ketika kami masih suami isteri. Jadi saya mintalah 4 Wheel Drive.

“Saya meminta benda-benda asas seperti rumah sebab sekarang ini kami tinggal di rumah sewa yang saya bayarkan sendiri. Sementara dia masih tetap dengan wang pemberian RM700 sebulan untuk anak-anak. Apa yang diminta, pada saya, adalah within my rights selepas 10 tahun kami bersama.”

Belum lagi selesai dengan kes tuntutannya, kini timbul pula kritikan sesetengah penonton Wanita Hari Ini (TV3) yang melihatnya seakan mendominasi perbincangan hinggakan teman pengacara malah dikatakan tetamu jemputan pun, tiada peluang untuk berkongsi pendapat mereka. Bagi Norish, semua kritikan itu diambil dengan positif.

“Saya seorang yang positif. Itu pandangan mereka. Tetapi produser tidak pernah pun memarahi saya kerana itu. Tapi bagi saya, kritikan mereka itu bagus kerana saya sendiri tak perasan dan saya akan cuba perbetulkan.”

Jelas Norish, cara pengacaraannya mengikut stail Oprah Winfrey yang lebih menjurus kepada perbualan diantara kawan.

“Apa yang kita ingat, kita tanya. Adakalanya kita menyampuk. Tapi saya faham, kita tidak boleh membuat semua orang suka pada kita.

“Sebagai seorang pengacara, tugas saya untuk memikirkan cara memikat penonton dan menyampaikan info dalam cara yang menarik. Walaupun mereka mengkriktik, namun mereka masih juga nak tonton WHI sebab nak lihat apa lagi yang akan saya buat.

“Saya ingat lagi selepas topik donut beberapa minggu lalu, keluar cerita yang saya mabuk donut padahal ia cuma satu gimik untuk memulakan topik perbincangan. Tapi pada saya, semua publisiti ini satu cara untuk mempromosikan rancangan.”


Pertama kali bawa watak jahat
Bagi yang mereka yang tidak begitu menyenangi Norish, tidak menghairankan jika selepas ini perasaan itu bertambah benci apabila menonton lakonannya di dalam drama ‘Puteri Aurora Beradu’, yang telah mula siaran semalam, jam 4.30 petang di slot Lagenda.

Buat pertama kalinya, selepas 13 tahun bergelar pelakon, dia memainkan watak antagonis, Sofea. Sofea menaruh perasaan terhadap Emran (Eizlan Yusof). Walaupun mendapat tahu Emran sudah berkahwin, dia tetap ingin memilikinya.

“Saya memujuk pihak penerbit untuk memberikan saya peluang mencuba. Bagi saya, belum cuba belum tahu. Takut juga pada mulanya jika saya tidak dapat membawa watak ini dengan baik kerana memang berat. Perangai, percakapannya, memang jahat. Semua orang dimakinya. Ada juga beberapa babak dimana saya perlu dera Rozita (memainkan watak Aishah, isteri Emran), seperti tarik rambut."

Diakui Norish, memainkan Sofea satu cabaran besar buat dirinya, lebih-lebih lagi kerana perwatakan sebenarnya yang jauh berbeza dari Sofea. Katanya, jika ada perkara yang tidak disukainya, dia lebih senang berundur berlainan Sofea yang suka berkonfrontasi.

Banyak perancangan yang dibuat Norish untuk melakonkan Sofea. Dari segi imej (pakaian, rambut), personaliti malah cara ketawa, semuanya direka sendiri.

“Saya mengambil benda-benda negatif dari orang sekeliling saya untuk menjayakan watak Sofea. Tapi saya tidak membiarkan apa yang sedang berlaku di dalam hidup saya untuk mengganggu kerja saya.

“Saya kena jalani hidup saya. Bila tiba hari mahkamah, baru saya fikir tentang kes saya. Semua keputusan di luar tangan saya sebaliknya terserah kepada bekas suami dan hakim untuk memutuskan. Saya hanya menanti. Sebenarnya kes ini jika selesai cara aman, lama sudah selesai.

“Saya tidak akan membenarkan diri saya dijatuhkan kerana kes ini. Saya seorang yang sangat positif. Saya mempunyai hidup saya dan anak-anak saya. Saya tahu masyarakat mengharapkan saya duduk di rumah, murung… Nasihat saya pada wanita lain yang berada di dalam situasi yang sama, jangan jadi begitu. Jangan biarkan hidup anda berlalu begitu saja. Don’t dwell on the past.”

Post a Comment

0 Comments