Rozita Che Wan: Hanya Kawan, Tak Mesra


Walaupun puas diasak para media sampai tuan empunya diri pun tidak tahu bagaimana hendak menjawab, tetapi itulah jawapan yang berulang kali ditegaskan Rozita Che Wan tentang perhubungannya dengan pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor, Asrarudin Putra Omar.

Gara-gara menemankan adik, Ayu Raudhah menonton perlawanan bola (seperti yang ramai tahu pemain Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak sedang hangat digosipkan sebagai teman istimewa Ayu), Rozita pula yang terkena tempiasnya.

“Saya pun tak tahu macam mana ini semua boleh bermula,” katanya bingung.

Namun begitu, diakui Rozita yang dia memang mengenali Asrarudin, berlainan dari para VIP yang pernah digosipkan dengannya sebelum ini yang langsung tidak dikenalinya.


“Gosip ini ada sedikit kebenarannya di mana saya memang kenal dia. Sudah beberapa bulan kami berkenalan bermula di gelanggang futsal tetapi takde lah bercinta. Kami kawan biasa tapi tak mesra. Berborak dengan dia (diakui hingga berjam-jam mereka bergayut di telefon), saya rasakan dia seorang yang boleh dijadikan kawan bersembang.”

Ditanya jika dia takut di label seorang ‘playgirl’ kerana berkawan dengan ramai lelaki, jelasnya setiap orang berhak untuk memilih yang terbaik dan sesuai untuk dirinya.

“Jika hanya berkawan dengan seorang saja, macam mana kita hendak buat pilihan? Sebab itu ramai artis susah nak ‘declare’. Bila mereka sudah bersedia baru mereka beritahu. Sebab kadang-kadang berkawan itu tidak bermakna adanya jodoh.”

Tambahnya, melihat jurang perbezaan usia sebanyak 15 tahun di antaranya dan Asrarudin, dia berpijak di bumi nyata.

“Saya suka lelaki muda tetapi saya perlu realistik. Nanti dikejarnya perempuan lain kerana 80% lelaki akan curang. Jika perbezaan umur setahun, dua masih boleh diterima. Tapi jika sudah jodoh, saya terpaksa terima tapi saya berharap tidak lah begitu,” cerita Rozita yang mengakui bimbang jika ‘sahamnya’ jatuh disebabkan terlalu kerap dikaitkan dengan VIP menjadikan orang biasa takut mendekatinya.

“Saya tidak mencari VIP. Itu orang yang buat cerita. Saya tak kisah siapa dirinya. Jika saya suka, suka lah tetapi saya lebih selesa dengan orang biasa.”

Dalam orang ramai sibuk bercakap tentang ‘perhubungan’ di antaranya dan Asrarudin, rupa-rupanya Rozita sedang dalam fasa mengenali seorang ahli perniagaan yang telah diperkenalkan oleh seorang teman.

Lelaki tersebut masih bujang dan tidak berpangkat. Dan melayannya dengan baik. Apa yang disebutkannya, akan dibeli si dia untuknya.

Bila terkeluar cerita tentang dirinya dan Asrarudin, Rozita memberitahu lelaki tersebut diam saja, tidak bertanyakan apa-apa.

Projek lakonan
Rozita ditemui semalam selepas pelancaran drama terbaru TV3, ‘Puteri Aurora Beradu’ yang diilhamkan dari cerita dongeng klasik Sleeping Beauty. Di dalam drama 20-episod itu, dia memainkan watak Aishah, ibu kepada Aurora (lakonan Memey) dan mangsa penderaan Sofea (Norish Karman).

Awalnya, Rozita pilihan utama untuk membawa karektor Sofea tetapi disebabkan jadualnya yang padat, dia diberikan watak Aishah sementara Sofea dimainkan Norish.

“Melihat sedutan tadi, nasib baik tak bawa watak Sofea. Lakonan Norish memang mantap sebagai orang jahat,” katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran filem ‘Adik Manja 2009’ dan selepas itu, drama raya TV9, ‘Kuih Goyang Seha’.

Post a Comment

0 Comments