Almy Nadia Sanggup Hodohkan Diri

Kerana ingin menampilkan kelainan dari watak yang pernah dibawanya sebelum ini, Almy Nadia sanggup hitamkan tubuhnya untuk memainkan karektor Puteri dalam drama terbarunya, 'Senandung Si Dayang', yang akan disiarkan mula 25 Ogos, jam 4.30 petang di TV3.

Pastinya, pengalaman ini tidak akan dilupa sampai bila-bila. Untuk membersihkan warna hitam itu dari badannya, di perlukan pertolongan tiga orang. Selepas badannya sudah dicat, Almy tidak boleh bergerak atau menyentuh benda-benda sesuka hati kerana bimbang warnanya akan tanggal. Jika ingin minum atau makan, perlu diminta pertolongan orang untuk membawakan air dan makanan.

"Tetapi Almy tak suka susahkan orang. Sebab itu Almy biasanya akan siap belikan roti dan sebotol air. Dan Almy akan duduk di tempat yang mereka sediakan, makan roti sambil baca skrip."

Malah apabila kulitnya terbentuk ruam kerana sensitif terhadap cat yang digunakan, Almy hadapinya dengan tabah.

"Almy ambil watak ini sebab ia lain yang dari yang lain. Bagi Almy watak dia 'best'. Sebagai pendatang baru, terfikir juga Almy nak ambil ke tak watak ini sebab siapa yang sanggup hodohkan diri mereka begini?

"Tapi Almy nak ikut jejak Datuk Sarimah Ahmad yang pernah menghidupkan watak ini dahulu. Almy nak buktikan Almy bukan sahaja boleh bawa watak gedik. Harap Almy, seksaan itu membuahkan hasil."

Tambahnya, tampil hitam legam juga mencabarnya dari segi lakonan.

"Bila sudah gelap, susah Almy nak berikan reaksi muka seperti biasa. Jadi, bila menangis, Almy perlu menangis dengan betul-betul. Bila ketawa, Almy perlu ketawa dari hati agar penonton dapat melihat reaksi Almy.

"Tetapi pengalaman membawa watak Puteri banyak mengajar Almy bersabar, kebetulan pula drama ini disiarkan pada bulan puasa, kerana dalam cerita, Puteri selalu didera ibu mertuanya. Kalau dalam realiti, Almy sudah lama lapor polis."

Belum bertunang
Tentang khabar angin yang dia dan Fizz Fairuz sudahpun bertunang, jawab Almy, "Belum apa-apa lagi, orang dah kata kami sudah bertunang. Jangan risau, kami akan jemput bila nak bertunang nanti tapi buat masa ini tiada perancangan lagi."

Katanya lagi, sebelum ini timbul gosip mengenai keretakan perhubungan mereka.

"Masa tu, Fizz di Jordan sibuk dengan penggambaran 'Nur Kasih'. Tapi kita tak endahkan gosip itu, sebaliknya tumpukan pada kerjaya. BIla kami rasakan sudah boleh pikul tanggungjawab berumahtangga, baru kami berbincang."

Post a Comment

0 Comments