Wan Sharmila Tidak Bergantung Pada Suami

Tiga tahun mungkin satu tempoh masa yang agak lama untuk menanti tawaran teraju utama. Tetapi bila di fikirkan nasib segolongan artis senior yang hanya memainkan watak sampingan sepanjang penglibatan mereka di dalam bidang lakonan, rezeki Wan Sharmila boleh dikatakan murah.

Penantian tiga tahun bukan kerana kelemahan lakonannya. Lihat saja persembahannya di dalam drama-drama seperti 'Sindarella', 'Emil Emelda' dan 'Kisah Kaisara' .

Sebaliknya, menurut Wan, ciri-ciri fizikalnya tidak memenuhi kriteria seorang heroin yang biasanya berambut panjang, lurus dan cerah warna kulitnya. Di tambah pula, namanya tidak cukup gah.

Malah, bukan mudah untuknya mendapatkan watak Tirana di dalam drama terbaru terbitan Radius One Production, 'Tari Tirana' yang akan bermula siaran pada 25 Ogos ini, setiap Selasa, jam 9 malam di TV3.

Bila idea untuk 'Tari Tirana' mula di bentangkan dengan namanya sebagai watak utama, ia ditolak stesen TV yang inginkan Sharifah Amani.

Kerana mempercayai Wan calon terbaik untuk menghidupkan watak Tirana, lebih-lebih lagi apabila idea itu tercetus darinya, pengarah Shahrulezad Mohamedin (Shahrul) telah menolak cadangan tersebut. Akibatnya, projek 'Tari Tirana' di ketepikan, di gantikan dengan 'Sindarela'.

Ironinya, populariti 'Sindarela' menyedarkan pihak stesen TV kepada kewujudan Wan, yang melakonkan watak Tasha. Selepas itu, baru dipersetujui watak Tirana dimainkan Wan.


Namun, tertanya juga, memandangkan Radius One kepunyaan suaminya, Fazli Baharom bukankah sepatutnya lebih mudah bagi Wan di tawarkan watak utama?

"Walaupun kami sudah tiga tahun berkahwin, tapi Wan tak pernah gunakan dia untuk kesenangan. Tidak timbul soal Wan memujuknya memberikan apa-apa watak," luah Wan.


"Dia dengan kerjanya, begitu juga Wan dengan kerja Wan. Mana-mana syarikat produksi yang ingin mengambil Wan, boleh saja. Wan tidak terikat dengan Radius One.

"Pemilihan artis di Radius One dibuat oleh Shahrul (yang juga rakan kongsi Fazli) yang mengambil seseorang itu berdasarkan bakatnya. Shahrul telah lama memerhati pretasi lakonan Wan. Dan kali ini, dia percaya Wan mampu membawa watak Tirana."

Walaupun begitu, di akui Wan, risau bila difikirkan bagaimana penerimaan penonton terhadap dirinya sebagai pelakon utama.

"Wan tidak cantik atau putih. Sebab itu Wan selalu minta make-up artis tolong solekkan Wan cantik-cantik kerana penonton ingin melihat seorang heroin yang jelita.

"Shahrul seorang pengarah yang bagus di mana dia akan kaji kelebihan yang ada pada kita dan mencari satu gaya yang mampu menarik minat penonton. Sebab itu imej yang dipilih untuk Tirana ala Korea. Harapan kami untuk menjadikan Tirana sebagai 'trendsetter'."

Ideanya sendiri
Kisah 'Tari Tirana' terlahir dari pengalaman Wan ke kelas tarian Linda Jasmine "kerana nak turunkan berat badan".

"Ada satu ketika itu, berat Wan setinggi 56kg (sekarang berat badannya hanya 44kg). Sebab tak suka pergi gim, Wan pun daftar untuk kelas tarian. Di sana, Wan lihat kesemua pelatihnya cantik, susuk badannya pun cantik. Wan teringin nak jadi seperti mereka.


"Wan pun ceritalah pada Shahrul yang kebetulan jiran Wan tentang kisah seorang gadis yang berhasrat menjadi anggota sebuah kumpulan tari. Tetapi 'twist'-nya, kehadirannya tidak disenangi seorang ahli kumpulan."

Bagi memastikan pembawaan watak Tirana menjadi, Wan sanggup mengorbankan makhota kesayangannya. Telah di lalui dua sesi rawatan agar rambutnya menjadi kerinting.

"Kami tidak gunakan rambut palsu kerana ketika menari, kami ingin rambut itu kelihatan 'natural'. Ini kali pertama Wan kerintingkan rambut. Memang tak biasa. Nak tidur pun susah. Harap-harap pengorbanan ini akan memberikan pulangan yang baik."

'Tari Tirana' menggandingkan Wan dengan sekumpulan bakat baru, antaranya Shaz Jazle dan Ammar Alfian Aziz.

"Jujurnya, Wan mengharapkan bantuan pelakon yang lebih berpengalaman untuk membimbing Wan dalam percubaan pertama sebagai watak utama. Tetapi Wan tidak kecewa kerana kita semua sama-sama ingin belajar dan kami mempunyai seorang pengarah yang bagus untuk memberikan kami tunjuk ajar.

"Seronok bekerjasama dengan mereka. Kita semua pun orang baru yang tidak lari dari membuat kesilapan. Gembira, sedih, kita laluinya bersama-sama. Wan harap penonton akan suka dengan drama 'Tari Tirana'," katanya mengakhiri perbualan.

Post a Comment

1 Comments

  1. Baguslah kalau x hrpkn suami utk dpt manfaat..

    Cuma nk tegur cara pemakaian Wan Sharmilla..Terlalu seksi lah..

    Hrp2
    lepas nie Wan dpt petunjuk drpd Allah

    ReplyDelete