Ashley Tisdale Ikut Jejak Britney?


Suatu masa dahulu, Britney Spears diangkat sebagai inspirasi buat berjuta gadis remaja untuk menyimpan dara sehingga kahwin ... itu sebelum Jason Alexander dan Kevin Federline, rambut botaknya dan bermacam-macam lagi kes.

Kini, muncul pula Ashley Tisdale, bintang francais ‘High School Musical’ yang paling di-Google, dengan album berkonsep rock yang cuba menonjolkan pelakon/penyanyi itu sebagai seorang yang lebih memberontak. Adakah ini permulaan buruk buat seorang lagi idola harapan remaja Amerika?

Jujurnya, album pertama Tisdale, ‘Headstrong’ telahpun menunjukkan perwatakan ‘rebel’ gadis berumur 24 tahun itu. Jadi, konsep album terbarunya, ‘Guilty Pleasure’ tidaklah begitu mengejutkan sebenarnya. Kes-kes puteri lilin pop tunjuk belang, dara jadi diva ini bagaikan sudah tidak menghairankan lagi sejak Britney, Christina Aguilera dan ramai lagi nama yang sewaktu dengan mereka.

Lagipun, album ‘Guilty Pleasure’ tidaklah keterlaluan dalam menonjolkan pesona terbaru Tisdale yang taringnya boleh dikatakan setakat Avril Lavigne saja. Album ini mengandungi lagu-lagu yang pasti akan berkumandang di radio Top 40 merata-rata untuk baki tahun ini seperti “It’s Alright, It’s OK”, “Acting Out”, “Masquerade”, “What If”, “Overrated” dan “Me Without You”.

Walau apapun, sempena keluaran ‘Guilty Pleasure’, Tisdale sempat berkongsi luahannya tentang karya terbarunya ini.

Boleh ceritakan sedikit tentang album baru Ashley?
Ashley Tisdale:
Rasanya untuk album pertama (‘Headstrong’) saya melalui satu pengalaman yang banyak mengajar saya. Sekarang pun, saya bukan tahu semuanya tapi saya lebih pasti apa yang saya mahu.

Apa yang Ashley mahukan?
Saya masuk studio dengan hasrat di hati untuk membikin album bagi membuktikan kepada dunia yang saya bukan sahaja gadis ‘blonde’ yang comel dan ceria, yang anda kenal daripada Disney. Saya juga ada ‘my tougher side’ dan saya cintakan muzik rock, mungkin sesuatu yang orang tidak tahu tentang diri saya. Buat setiap album kita ada peluang untuk berkongsi diri kita sebenarnya dengan dunia luar, dan saya hendak sangat untuk peminat kenali ‘another side to me’.

Lagu “It’s Alright, It’s OK” ada ditujukan khas buat sesiapa?
Bukan untuk sesiapa, tapi saya memang suka lagu ‘break-up’. Jadi kali ini, saya keluarkan semua ‘frust’ dan emosi yang terpendam daripada hubungan (romantik) saya yang baru berakhir baru-baru ini. Saya rasa semua orang dapat ‘relate’ dengan saya dalam benda-benda ini, perasaan-perasaan ini. Ia sebahagian daripada pembesaran dan perkembangan kita semasa muda.

Lagu “It’s Alright, It’s OK” dan kebanyakan lagu-lagu lain dalam ‘Guilty Pleasure’ menceritakan tentang betapa pentingnya untuk kita mempertahankan diri pada setiap masa dalam sebuah hubungan, jangan biar mereka pijak sahaja sesuka hati. Boleh kata satu mesej yang saya ingin sampaikan kepada gadis lain sebaya saya.

Ashley yakin dengan karier Ashley sebagai penyanyi solo walau dikalangan berpuluh lagi bintang pop perempuan lain?
Saya cuma boleh katakan yang saya sendiri masih lagi membesar, dan ini muzik yang akan saya dengar. Secara jujurnya, saya tidak ‘cater’ album ini buat sesiapa melainkan diri saya. Saya tak boleh nyanyi dan bawa lagu-lagu ini kalau saya tak hubungkaitkan kepada diri saya.

Kronologi Detik Populariti Tisdale
1988: Ditemui oleh pengurus Bill Perlman ketika berumur tiga tahun di Monmouth County, New Jersey. Terus dihantar menyertai pelbagai ujibakat untuk iklan TV. Ditawar mengambil watak utama untuk jelajah muzikal Broadway, ‘Les Miserables’ ketika berumur lapan tahun. Meneruskan persembahan teater kanak-kanak dengan ensemble ‘Annie’.

2000: Dicalonkan untuk anugerah Young Artist Award dalam kategori ‘Best Performance in A Television Drama Series’ untuk penampilannya di dalam rancangan ‘Boston Public’. Mula muncul sebagai kameo dalam siri-siri popular TV seperti ‘Charmed’, ‘Malcolm In The Middle’, ‘Grounded For Life’ dan ‘Hannah Montana’.

2001: Tampil dalam babak kameo untuk filem ‘Donnie Darko’ bersama Jake Gyllenhaal. Merakam lakonsuara untuk watak Blueberry Scout dalam filem animasi ‘A Bug’s Life’.

2005: Mula popular sebagai watak Maddie dalam siri TV Disney Channel, ‘The Suite Life of Zack & Cody’, bersama rakan baik dan bintang kacukan Vietnam-Amerika, Brenda Song.

2006/07/08: Menjadi kegilaan dunia selepas menyertai ‘High School Musical’ di sisi Zac Efron, Vanessa Hudgens dan ramai lagi. Memenangi anugerah ‘Best TV Actress’ untuk ‘The Suite Life of Zack & Cody’ di Nickelodeon Kids Choice Awards dan juga ‘Breakthrough Performance Female’ di MTV Movie Awards untuk ‘High School Musical 3: Senior Year’.

2008: Tersenarai antara ‘Top 100 Most Powerful Celebrities’ dalam majalah Forbes dan ‘25 Hottest Stars Under 25 dalam majalah People.

2009: Album kedua, ‘Guilty Pleasure’ menunjukkan sedikit pemberontakan ala Britney Spears era ‘Oops...I Did It Again’. Akan dilihat tidak lama lagi dalam filem blockbuster ‘They Came From Upstairs’ serta filem remaja ‘Aliens In The Attic’ pada bulan Ogos dan juga ‘Teen Witch’.

Post a Comment

0 Comments