
Semenjak pemergian arwah Yasmin Ahmad, sudah menjadi rutin harian buat ibu bapanya, Enom Yom, 71, dan Ahmad Hashim (atau Pak Atan), 77, untuk menziarah kuburnya setiap pagi.
Setibanya GUA dan rakan di rumah sekitar 10 pagi, mereka baru saja pulang dan sedang menjamah sarapan pagi. Namun kata mak Enom sambil menguis nasi di pinggan, sejak anak kesayangannya meninggal, hilang sudah selera makan.
Awalnya, GUA sudah diingatkan adik bongsu arwah, Muzaffar untuk tidak bertanyakan soalan yang mungkin menguris hati kedua orang tuanya. Namun ibu bapa mana yang mampu mendiamkan diri apabila anak mereka diaibkan sebegitu? Lebih-lebih lagi, bila dia sudah tiada untuk membela diri.
Meskipun pihak atasan akhbar tersebut sudah berjumpa keluarga arwah untuk meminta maaf, namun mereka masih menunggu kunjungan dari editor dan penulis artikel dari tabloid berkenaan.
“Tiada alasan untuk mereka enggan berjumpa jika mereka percaya apa yang ditulis itu adalah benar. Mak hanya inginkan keadilan. Jika Yasmin ada tersalah cakap, tersilap langkah … ingatkan mak, mak akan perbetulkan.
“Mak tak faham mengapa ada yang tidak senang dengannya. Dia pun sudah tiada lagi. Biarlah dia pergi dengan aman,” ujar mak Enom.
Diam kerana benar
Ceritanya, ini bukan kali pertama Yasmin ‘diserang’. Ketika arwah masih hidup, acapkali dia dikritik dan dilemparkan pelbagai tuduhan.
Iklan Petronas pertama arwah melihat ada yang mempertikaikan keputusannya untuk menggunakan orang India untuk menyampaikan mesej Hari Kemerdekaan. Filem ‘Sepet’ menimbulkan rasa tidak senang hati dengan kisah percintaan antara Orked dan Jason. Pada pengkritiknya, arwah “pencemar budaya”.

“Mengapa mereka ini pula tidak berkata apa-apa apabila ada filem yang memaparkan adegan katil? It’s always Yasmin,” kata mak Enom kecewa.
Hinggakan bila ada yang cuba sabotaj filem ‘Sepet’ – dedah mak Enom, ramai kawan yang cuba membeli tiket tetapi diberitahu semuanya sudah habis dijual. Tetapi bila disiasat, hanya ada tiga, empat orang saja di pawagam – arwah terus mendiamkan diri.
“She cries,” cerita mak Enom sedih. “Dalam begnya selalu dibawa telekungnya. Dia akan menangis di atas sejadah, dia akan tanya mengapa diperlakukan sedemikian. Bila mak melihatnya begitu, mak akan peluknya erat-erat.
“Tapi lepas tu, dia akan ambil kameranya dan mula kerja. Tiada perasaan dendam. Katanya, ‘It’s okay. Biarkan mereka. Kita tahu kita di pihak benar.’”
Walaupun tidak dihargai sepenuhnya di negara sendiri, bakat arwah dirai masyarakat antarabangsa. Buktinya dalam pelbagai anugerah yang dimenangi di festival filem terkemuka antarabangsa yang diperlekehkan sesetengah pihak di sini sebagai “festival nyamuk”.
Ibu bapa segala-galanya
Arwah sering kali mengingatkan setiap karya yang dihasilkan adalah untuk ibu bapanya. Asalkan mereka gembira dengan buah tangannya, itu sudah cukup baginya. Sebagai tribut buat mereka, arwah selalu menyelitkan kisah hidup mereka di dalam karyanya.
‘Rabun’, kisah sepasang suami isteri yang begitu saling menyayangi walaupun usia kian meningkat. Babak mereka mandi bersama – satu kebiasaan buat ibu bapa arwah – menjadi isu, padahal menurut mak Enom, ia sudah tertulis di dalam Islam.
“Sehingga hari ini, kami suami isteri masih mandi bersama,” umumnya tanpa segan. Pak Atan yang berada di sebelahnya, tersenyum.
Pernah di dalam iklan arwah memperlihatkan sepasang suami isteri memberi perlindungan kepada orang bukan Melayu ketika peristiwa 13 Mei. Itu adalah kisah benar yang diambil dari pengalaman ibu bapanya semasa tinggal di Melaka.

“Mak dibesarkan ibu bapa untuk tidak menilai seseorang itu berdasarkan agama dan bangsanya. Semasa kecil, mak diambil sebagai anak angkat oleh kawan ayah yang berketurunan India. Begitu baik mereka melayan mak.
“Sebab itu mak pernah berkata pada murid-murid dan kawan-kawan mak, bila mak meninggal, the Chinese and Indians will cry more for me. Mak terharu bila pada hari pengebumian Yasmin, begitu ramai orang bukan Melayu yang datang memberikan penghormatan. My daughter has done right by me.”
Tambah mak Enom, arwah seorang anak solehah, taat pada ibu bapanya, tidak pernah mengingkari mereka dan melakukan apa saja untuk mengembirakan mereka. Tidak dibenarkan sesiapa, malah adik-beradiknya untuk menyakiti mereka.
“Dia satu dalam sejuta,” ucap Pak Atan ringkas.
Dedah Muzaffar, arwah selalu mengingatkan mereka adik-beradik agar jangan menyakiti hati ibu bapa sebaliknya menjaga mereka dengan baik. “Dia selalu menangis bila teringatkan orang-orang tua yang telah dihantar ke rumah orang tua.”
Anak mak
Sejak kecil, Yasmin memang rapat dan manja dengan ibunya. Pada usia 14 tahun, dia masih tidur bersama dan disuap ibunya. Mereka tidak pernah berpisah.
“Yasmin sering cakap pada abahnya, ‘Abah seorang yang berani, jadi tidur di luar. Yasmin pula temankan ibu sebab ibu takut tidur seorang diri’,” cerita mak Enom sambil tersenyum.
“Mak rindukan panggilannya. Tak kira di mana dia berada, setiap hari dia akan telefon mak empat, lima kali tanya, ‘Mak happy ke?’ Dia tahu syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Apa yang mak cakap, dia akan ikut tanpa soal walaupun usianya sudah 51 tahun.”
Tambah Pak Atan, “Bagi Yasmin, ibunya adalah heronya. Ramai yang panggil Yasmin ‘mak’. Itu diikut dari ibunya yang lebih senang apabila orang memanggilya ‘mak’.”

Bila mendapat tahu ibunya gemar memancing, arwah membelinya sebuah bot. Sebelum meninggal, arwah dalam proses membina sebuah rumah buat ibunya di sebidang tanah yang dibeli di Padang Mat Sirat, Langkawi. Dijangka siap sebelum penghujung tahun ini, perancangan arwah adalah untuk menyambut harijadi ibunya pada 4 Disember nanti di rumah baru.
“Jika mana-mana kawan Yasmin yang nak ke Langkawi, beritahu saja mak. Mak akan sediakan bot dan tinggal saja rumah. Ada banyak bilik. Mahal kalau nak tinggal di hotel,” ajak mak Enom ikhlas.
Malah sebelum bertolak pulang, mak Enom menjemput GUA dan rakan, dan kawan-kawan arwah untuk singgah di rumah sempena sambutan Hari Raya nanti. “Walaupun Yasmin sudah tiada, anda semua masih boleh datang ke rumah.”
Yasmin di ingatan
Mak Enom telah membeli satu ekar tanah di Langkawi untuk didirikan tempat bagi mengajar anak-anak Al-Quran dan bahasa Inggeris. Semuanya akan diletakkan dibawah nama arwah.
Menurut mak Enom, Yasmin bukan saja murah hati dengan keluarga tetapi mereka yang memerlukannya. Selain menderma kepada masyarakat di Acheh, Indonesia dan Afghanistan, arwah juga ada mendirikan sebuat pusat untuk kanak-kanak terbiar di India.
“Moto-nya jika tangan kanan memberi, tangan kiri tidak akan tahu. Maknanya, bila sudah memberi, tidak perlu diberitahu sesiapa atau mengharapkan apa-apa.”
Walaupun ramai peminat dan kenalan arwah yang meratapi pemergiannya tetapi tiada yang benar-benar merasai kehilangannya kecuali ibu bapa, suami dan adik-beradiknya yang akan sentiasa terkenangkan seorang insan bernama Yasmin Ahmad yang gemar bergelak ketawa dan penuh dengan kasih sayang.
Semalam, karya terakhir arwah, ‘Talentime’ memenangi lima anugerah utama di Festival Filem Malaysia ke-22 termasuk Anugerah Khas Juri. Namun anugerah-anugerah ini tidak menceritakan kisah tentang seorang individu yang telah mendedikasikan hidupnya kepada keluarga dan kerjanya yang berdiri sebagai bukti kepada sebuah negara Malaysia yang bersepadu.
0 Comments