FFM22: Yasmin Ahmad Pengarah Terbaik


Buat keluarga dan peminat Yasmin Ahmad, kemenangan arwah di Festival Filem Malaysia ke-22 malam tadi tidak mungkin dapat mengembalikannya tetapi sekurang-kurangnya, bakat dan karya terakhir arwah mendapat pengiktirafan yang sepatutnya.

Adik arwah, Orked yang telah menghadiri acara malam ini bersama kedua ibu bapanya, telah ke pentas untuk menerima anugerah Pengarah Terbaik bagi pihak kakaknya. Dalam ucapannya, dia berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia termasuk rakan-rakan dari luar negara yang telah berada di sisi keluarga ketika mereka sedang melalui tempoh yang sedih ini.

Tambahnya, "Saya rasa kakak saya mesti sangat bersyukur dan gembira untuk mendapat anugerah Pengarah Terbaik, satu anugerah yang beliau impikan. Kakak saya membuat filem bukan untuk tujuan meraih pujian atau anugerah tetapi untuk menghiburkan mak dan abah, dan untuk menggambarkan suasana pahit manis kehidupan sebenar.

"Setiap malam sebelum tidur kakak saya meminta ampun dari Tuhan dan akan memaafkan semua yang telah melukakan perasaannya. Saya berharap anda semua dapat memaafkan kesilapan kakak saya dan doakannya berada di kalangan orang beriman."

Selain Yasmin dan karyanya 'Talentime' yang berjaya membawa pulang empat anugerah utama - Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita - Afdlin Shauki dan filem terbarunya, 'Papadom' yang bakal ditayangkan tidak lama lagi juga pemenang besar malam ini. Empat anugerah yang diraihnya termasuk Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik buat Liyana Jasmay.

FFM22 yang dihoskan oleh Fahrin Ahmad dan Vanidah Imran telah berlangsung tadi di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah, Sabah.

Berikut antara pemenang anugerah FFM22:

Anugerah Perdana
Filem Terbaik
Papadom

Pengarah Terbaik
Yasmin Ahmad ('Talentime')

Pelakon Lelaki Terbaik
Afdlin Shauki ('Papadom')

Pelakon Wanita Terbaik
Liyana Jasmay ('Papadom')

Lakon Layar Terbaik
Yasmin Ahmad ('Talentime')

Cerita Asal Terbaik
Afdlin Shauki ('Papadom')

Sinematografi Terbaik
Mohd Nor Kassim ('Setem')

Filem Komedi Terbaik
Los dan Faun

Anugerah Cipta
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Mohd Shafie Naswip ('Talentime')

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Salina Saibi ('Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam')

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
Mohd Hadziq ('Syurga Cinta')

Pelakon Harapan Lelaki
Zahiril Adzim ('KAMI The Movie')

Pelakon Harapan Wanita
Jaclyn Victor (Talentime)

Pengarah Harapan
James Lee ('Histeria')

Anugerah Khas Juri: Filem Box Office
Geng: Pengembaraan Bermula

Post a Comment

0 Comments