Tidak berapa lama dahulu, Noryn Aziz, 33, pernah mengundang pelbagai kontroversi. Salah satu daripadanya, dia dikatakan telah mendirikan rumahtangga dengan salah seorang kerabat diraja. Namun, perkara ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh Noryn.
Kini cakap-cakap tentang ‘perkahwinan’ tersebut tidak lagi kedengaran walaupun masih ada yang tidak berpuas hati dengan penjelasan yang pernah Noryn berikan. Pihak media juga tidak lagi mendesak Noryn untuk meluahkan tentang apa yang berlaku di antara dia dan kerabat diraja itu. Mungkin benar, mereka hanya berkawan.
Kalau tidak, masakan tiba-tiba Noryn mengeluarkan kenyataan yang dia mahukan teman lelaki. Kata-kata ini bukan rekaan semata-mata, tetapi diluahkan oleh Noryn ketika ditemui di majlis pelancaran rawatan terbaru daripada Marie France Bodyline, Liposonic Therapy di KLCC sebentar tadi.
![]() |
Ditanya adakah dia mensasarkan golongan korporat untuk dijadikan teman hidup, Noryn menafikan perkara ini sama sekali. Menurut Noryn, dia tidak kisah siapa yang akan menjadi teman hidupnya nanti asalkan mereka serasi.
“Saya tidak pernah menetapkan atau mensasarkan mana-mana golongan lelaki untuk dijadikan calon suami. Paling penting orang itu mestilah boleh menerima diri saya seadanya dan kami ada ‘chemistry’. Tetapi, jangan ingat yang saya merancang untuk berkahwin dalam waktu terdekat ini. Buat masa ini saya mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya terlebih dahulu daripada memikirkan soal perkahwinan,” tambah Noryn lagi.
Album baru hujung tahun
Setelah hampir dua tahun tidak muncul dengan album baru, Noryn akhirnya akan muncul dengan album baru menjelang hujung tahun ini. Album yang menggunakan wang simpanan Noryn sendiri ini sebenarnya dijadualkan berada di pasaran pada Jun atau Julai lalu, tetapi kerana beberapa masalah ia terpaksa ditunda.
Diminta mengulas tentang kelewatan tersebut, Noryn menjelaskan pembikinan albumnya terpaksa ditunda kerana dia terlalu berhati-hati dalam pemilihan lagu.
“Dalam situasi sekarang ini, saya perlu berhati-hati untuk mengeluarkan album baru. Maklumlah bukan sikit-sikit duit yang terpaksa dibelanja untuk tujuan ini. Sebab itu saya menjadi terlalu berhati-hati dalam pembikinan album ini. Saya tidak mahu tersilap perhitungan. Bagaimanapun, setakat ini 60 peratus material telah siap untuk album yang akan dinamakan ‘Selamanya’ ini.”
![]() |
“Album ‘Alam Maya’ saya dahulu agak sukar dipasarkan kerana ramai yang menggangap ia terlalu urban. Bukan setakat itu, stesen-stesen radio juga tidak mahu memutarkan lagu-lagu saya kerana menurut mereka tidak sesuai dengan selera pendengar mereka. Sebab itu kali ini saya mahu sampaikan lagu yang boleh diterima ramai,” jelas Noryn yang turut menggubah beberapa lagu untuk album terbarunya itu.
Selain sibuk dengan pembikinan album, Noryn juga akan merakamkan lagu Raya terbaru dengan Suria Records Sdn Bhd (SRC) tidak lama lagi. Lagu yang berjudul “Sinar Lebaran” itu dicipta oleh Pak Ngah, manakala liriknya ditulis oleh Siso.
Noryn juga akan berduet dengan penyanyi dari Indonesia dan Filipina untuk satu projek yang masih dalam peringkat perbincangan.


0 Comments