Pentas Pertama Rashidi Ishak

Sejak akhir-akhir ini pentas teater Malaysia galak membuat persembahan muzikal. Ternyata peminat teater gemar dengan angin perubahan pementasan tempatan yang kini setaraf antarabangsa.

Sempena bulan kemerdekaan juga, pentas teater bertaraf dunia, Istana Budaya tidak terkecuali daripada bahang kemeriahan teater muzikal. Teater muzikal ‘Tun Abdul Razak’, sebuah produksi Akedemi Seni Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Istana Budaya bakal menyusuri perjuangan dan peribadi mantan Perdana Menteri kedua yang terkenal dengan gelaran Bapa Pembangunan.

Pastinya insan paling gemuruh dalam pementasan ini ialah Rashidi Ishak, pelakon yang dipertanggungjawab memikul watak Tun Razak. Lebih mendebarkan lelaki ini, muzikal ‘Tun Abdul Razak’ adalah pementasan pertamanya sepanjang bergelar pelakon.

“Pertama kali bersetuju untuk berlakon teater terus mendapat watak utama, cemas juga dibuatnya. Mungkin sudah rezeki, saya akan memikul tanggungjawab ini sepenuh hati,” kata Rashidi atau lebih sinonim dengan panggilan Shidi.

Suami kepada pelakon versatil, Vanidah Imran ini bukan tidak pernah ditawarkan berlakon teater, apatah lagi sering sahaja menemani isteri tercinta berlatih pementasan. Namun ketika itu hatinya belum terbuka menerima sebarang tawaran atas alasan belum bersedia.

Malah ketika mulutnya laju bersetuju dengan tawaran yang diberi pelakon dan pensyarah ASWARA, Kamaruzaman Taib atau Che Kem, tidak terlintas dikotak fikirannya akan memegang watak Tun Razak.

Berbekalkan kecekalan dan semangat ingin mencuba, Shidi percaya, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Jika tidak dilakukan sekarang, entah bila lagi dia mampu beraksi di pentas teater.

“Segalanya berlaku begitu pantas, namun apa yang membuatkan saya teruja untuk bersama-sama dalam pementasan ini apabila mendengar nama Dato’ Rahim Razali sebagai pengarahnya. Kerana itu mulut ini pantas berkata ‘ya’ walaupun ketika itu masih tidak diberitahu akan melakonkan watak utama,” tambahnya.

Sebagai pelakon utama, Shidi dan pasangannya, Jee (Fauziah Latiff) perlu menyanyi dan berlakon. Walau sudah mengecapi kemahsyuran dan berpengalaman luas beraksi di depan ribuan audien ketika membuat persembahan bersama kumpulannya Dead Mushroom sebagai pemain gitar, belum dapat meredakan kebimbangannya menyanyikan 11 lagu dalam teater ini.

“Ketika sesi latihan vokal, saya dapat melihat kerutan di wajah tenaga pengajar. Itu bermakna vokal saya belum cukup memuaskan. Banyak juga yang dipelajari sepanjang sesi latihan dan Vee juga banyak membantu terutamanya teknik lontaran vokal ketika bercakap dan menyanyi,” jelas pelakon yang mula melibatkan diri dalam lakonan melalui filem ‘Senario’.

Yakin dengan kemampuan diri dan memberikan komitmen 200 peratus untuk teater pertamanya, Shidi banyak melakukan rujukan mengenai bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Shidi juga beruntung mendapat kerjasama Tan Sri Michael Chin, salah seorang sahabat Tun Razak. Melalui Chin, Shidi mendapat banyak input mengenai mantan Perdana Menteri itu.

Impi watak bersama Vee
Shidi dan Vee seringkali menjadi contoh pasangan romantis dan ideal. Sejak mendirikan rumahtangga hampir sedekad lalu, kehangatan cinta mereka masih jelas terpancar.

“Saya mengimpikan untuk berlakon bersama isteri, namun impian itu masih belum terlaksana lantaran anak-anak perlu diutamakan. Memang sejak dulu lagi kami telah mengambil kata putus tidak akan membiarkan anak-anak bersendiri tanpa pengawasan salah seorang dari kami. Sebab itu kami masih tidak berpeluang berlakon bersama. Jika ada pun, kami berlakon dalam filem yang sama, babaknya pasti berlainan,” ujarnya.

Bertolak-ansur dan tidak mengambil serius perkara remeh menjadi intipati kepada kehidupan selebriti dua sejoli ini. Malah akui Shidi, peranan bapa bukan sekadar nama, sebaliknya dia enggan mensia-siakan detik bermakna seperti menidurkan serta memandikan anak-anaknya sejak kecil lagi.

Post a Comment

0 Comments