Search: Belum Masa Untuk Bersara

Bulan ini bulan besar untuk Search dengan konsert finale ‘Jelajah Penghargaan Awan Biru Search’ Sabtu lepas serta harijadi Amy yang ke-50 beberapa hari sebelumnya. Majlis harijadi Amy diadakan di studio yang sebelum ini kepunyaan arwah Jalil Ngah, sahabat Search yang telah dua dekad merekacipta seni grafik dan seni pentas Search.


Di konsert itu, terasa sayu apabila Amy sempat membisikkan takziah atas kehilangan arwah Jalil dan juga arwah Loloq, penulis lirik kesayangan mereka, dua sahabat yang begitu penting dalam pembentukan karier kumpulan malar segar ini.
Kira-kira 14,000 datang membanjiri – Incubus pun tak seramai ini, kata orang yang biasa datang menonton konsert di Bukit Kiara. Dan cuma di konsert Search kita boleh lihat peristiwa tepi seperti kereta peminat ‘parking’ merata-rata di tengah-tengah jalanraya.

Upacara pembuka oleh kugiran-kugiran pelapis seperti Republic of Brickfields, Pesawat dan lain-lain pada sebelah petang kurang menarik perhatian penonton yang tiba selepas maghrib.

Konsert penamat jelajah penghargaan Celcom di Bukit Kiara cukup meriah sambutannya seperti yang boleh dijangka di setiap peristiwa Search, cuma agak sayang apabila mulanya konsert sebenar. ‘Intro’ yang tidak seberapa impak, bunyi keseluruhan yang nipis, serta berlakunya kegagalan bekalan kuasa pada lagu kedua membuatkan peminat sedikit ‘potong’ dan sukar menghenjutkan badan mengikut rentak dram.

Boleh dikatakan konsert Search di Bukit Kiara lambat panas dan diselubungi masalah teknikal yang membelenggu minda Amy dan rakan-rakannya, walaupun semua kelengkapan persembahan yang mantap sudah ada di depan mata seperti letupan bunga api (‘pyrotechnics’ pentas), berbelas-belas gitar buat Hilary, Din dan Kid, serta sebuah stage yang besar untuk Amy.


Senarai persembahan yang diisi dengan koleksi lagu-lagu ‘legend’ sepatutnya memuaskan hati peminat ‘diehard’, tapi daripada reaksi barisan hadapan memang ramai yang rasa tertipu dengan kekurangan kualiti konsert ini. Disebabkan kru teknikal yang dibawa masuk penganjur pada saat akhir untuk menggantikan kru sebenar jelajah Search iaitu FP.

“Gadisku”, “Pelesit Kota”, “Gadis Misteri”, “Setelah Hujan”, “Laila Namamu Teratas”, “Isi dan Kulit”, “Langit dan Bumi”, “Melastik Ke Bintang”, “Bencana”, “Gelora Cintaku”, “Panggung Khayalan”, “Gothik Malam Edan”, “Pawana”, “Isabella” (tiada “Fenomena” ataupun “Mentari Merah Di Ufuk Timur”) – satu demi satu diusung keluar oleh Amy, Hilary, Nasir, Din dan Yazit dengan sepenuh jiwa untuk memuaskan penonton.


Fanatik setia Search akan perasan juga beberapa ‘cue’ dan ‘key’ lagu, solo gitar dan lirik yang tersilap masuk, barangkali akibat kurang kedengaran di atas pentas, kerana pastinya pemuzik-pemuzik legenda ini tidak akan silap jika diberikan keselesaaan persembahan yang secukupnya.

Debat tentang Amy: Kenapa penyanyi junjungan kita kelihatan seperti menyimpan pada malam itu? Adakah Amy sudah hilang taringnya? Ataupun idola rock julangan kita sudah cukup dengan permainan ini? Jika benar, puluhan ribu peminat haruslah menerima dan menyokongnya, menerima kenyataan bahawa Amy, menjelang umur 50, sudahpun mara ke satu fasa lain dalam hidupnya.

Aura beremosi Kid ibarat penyelamat buat konsert itu, membuat penampilannya di akhir-akhir konsert satu klimaks yang tidak dijangka.

Konsert finale ‘Jelajah Penghargaan Search Di Awan Biru Celcom’ keseluruhannya mengecewakan, walaupun bukan salah Amy dan anggota-anggota Search. Mujurlah bukan finale sebenar karier kumpulan rock antara yang paling legenda dan paling dekat di hati orang Malaysia. Sesungguhnya mereka ‘deserve’ lebih dari kehambaran malam itu.

Tanda-tanda persaraan? Jelas sekali belum masa lagi untuk Search bersara!

Post a Comment

0 Comments