Pengembaraan Jamal Abdillah


Percaturan dan impian Jamal Abdillah untuk mengadakan konsert muzikal pertamanya di pentas Istana Budaya berjaya. Malah ketika mula megimpikan konsert solo awal tahun ini, impian Jamal bukan sekadar angan-angan Mat Jenin. Tanpa penaja besar, Jamal bergerak sendiri dengan bantuan beberapa kumpulan sokongan.

Menyanyikan lagu-lagu popular sepanjang zaman seperti “Seniman Menangis”, “Sepi Seorang Perindu”, “Gadis Melayu” sehinggalah kepada lagu terbarunya “Apa Lagi” ketika konsert pratonton, Jamal berjaya menghiburkan audien yang rata-rata merupakan peminat sejak awal kemunculannya.

‘Kembara Seniman Jamal Abdillah’ bermula agak perlahan dengan babak muzikal dari awal kelahirannya. Lakonan yang diselang-seli dengan nyanyian medley, nyata membuatkan penoton tidak betah berada di kerusi masing-masing kerana banyak babak lakonan pentas dirasakan mengganggu keseronokan perjalanan konsert.

“Kelancaran konsert ini boleh diperbaiki pada malam seterusnya dan saya tidak menafikan terdapat beberapa kekurangan pada malam pratonton ini,” akui Jamal.

‘Kembara Seniman’ ini dibahagikan kepada dua segmen, muzikal dan konsert. Ketika segmen muzikal pementasan seperti awal kelahiran, zaman remaja, penglibatan dalam Bintang RTM sehinggalah kepada kemahsyuran penyanyi kelahiran Telok Anson (Teluk Intan) ini dipentaskan untuk memberi gambaran lebih dekat kepada penonton.

Segmen muzikal turut menyaksikan keupayaan Jamal berlakon teater, selepas kejayaan beberapa filem lakonannya. Namun, rakaman temuramah bersama beberapa tokoh dirasakan tidak perlu dan membuang masa.

Jamal turut rakamkan penghargaan khas kepada individu yang banyak menaikkan namanya, melalui segmen tribut untuk Datuk Dr Ahmad Nawab.

“Pergaduhan yang disaksikan di atas pentas tadi hanyalah lakonan semata-mata. Jujurnya saya dan Ahmad Nawab tidak pernah bersengketa. Kalau bertegang urat ketika rakaman, itu biasa. Lakonan tadi sekadar mengikut kesesuaian lagu,” terang Jamal.

Penonton yang sedikit terganggu dengan perjalanan konsert, bangkit apabila Jamal menyanyikan barisan lagu-lagu popularnya pada segmen kedua. Nyata inilah yang dinanti-nantikan penonton yang hadir semata-mata mahu melihat penyanyi kesayangan mereka menyanyikan lagu-lagu malar segar yang sentiasa menjadi pengubat rindu.

S Atan selaku pengarah muzik berjaya menyuntik kesegaran dalam setiap lagu medley nyanyian Jamal. Malah ketika Jamal menyanyikan lagu-lagu tribut Tan Sri P Ramlee, penonton turut merasai keseronokan alunan susunan muzik fast jazz.

Ketika segmen kedua dipertontonkan, Jamal menghidangkan pelbagai rentak lagu seperti “Kekasih Awal dan Akhir”, “Ghazal Untuk Rabiah”, “Kau Lupa Janji”, “Lancang Kuning”, “Samrah Mentari” dan “Hingga Tiba Saat ini”.

Jamal turut mengundang juara dan pemenang tempat ketiga Bintang RTM 2009, Nur Erine Shahirah Zakri dan Nur Fatin Nabila Noor Sazley berduet bersamanya. Ernie memperlihatkan aksi menerusi dua lagu “Kehebatan Cinta” dan “Seri Langkat”. Manakala Fatin pula berpeluang berduet bersama juara Bintang RTM 1975 itu melalui lagu popular filem ‘Azura’ “Sandarkan Pada Kenangan”.

Jamal juga optimis andai tiket konsert muzikalnya mampu mencapai jualan seratus peratus selepas ini memandangkan jualan tiket sudahpun mencecah 70 peratus.

‘Kembara Seniman Jamal Abdillah’ merupakan konsert muzikal terbitan syarikat Jamal sendiri, Bintang Channel Sdn Bhd dipentaskan di Istana Budaya dari 5 hingga 9 Ogos ini. Tiket-tiket berharga RM75, RM100, RM150, RM200 dan RM300 boleh didapati melalui Box Office Istana Budaya atau www.ticket2u.biz.

Post a Comment

0 Comments