Alif Aziz: Saya Tidak Hilang


“Sayang, sayang-sayang
Kamu dah berpunya
Tertutup sudah bagiku kesempatan
Dan bukan gayaku
Rebut pacar orang
Meski hati tulus cerita berakhir tak senang”

Itu antara bait-bait lagu yang pernah mempopularkan nama Aliff Aziz di persada seni suara tempatan. Single berjudul “Sayang Sayang” ini bukan sahaja berjaya tersenarai dalam beberapa carta radio popular malah ia juga membuka mata banyak pihak terhadap bakat muda yang lahir daripada program realiti di Singapura ini iaitu Anugerah.


Buktinya, Aliff telah dicalonkan dalam kategori Vokal Lelaki Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun lalu. Selain itu, dia juga tercalon sebagai Artis Singapura Paling Popular di Anugerah Planet Muzik 2009 (APM 2009) baru-baru ini.

Walaupun dia tercalon untuk kategori popular di Singapura, tetapi kehadirannya di Malaysia semakin kurang dirasai. Bukan sahaja tidak terlibat dengan mana-mana persembahan pentas, malah cerita-cerita tentang dirinya juga kurang di dada-dada akhbar mahupun di majalah-majalah hiburan. Apa sebenarnya yang telah berlaku?

“Saya tidak menghilangkan diri selama ini. Tetapi dalam tempoh dua tahun ini saya banyak menghabiskan masa di Singapura kerana terikat dengan kontrak Unit Pengurusan Artis Suria (AMU) dan juga syarikat rakaman Sony Music. Jadi, saya perlu ikut jadual aktiviti yang telah ditetapkan oleh pihak mereka. Sebab itu saya kurang berada di Malaysia.

“Kini, kontrak saya dengan pihak pengurusan dan syarikat rakaman telah pun berakhir. Saya tidak lagi bersama mereka, sebaliknya saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan Sony Music Malaysia Sdn Bhd. Kepada peminat yang merindui saya, tunggu kehadiran album saya tidak lama lagi,” jelas Aliff yang sempat singgah ke pejabat GUA pagi kelmarin.

Pasti pengumuman itu menggembirakan peminat Aliff di luar sana bukan? Maklumlah anak muda yang mempunyai senyuman manis ini sudah lama tidak hadir dengan produk terbaru.

Bercerita tentang perancangan kariernya, Aliff memberitahu yang dia kini sudah cukup bersedia untuk kemunculan semula setelah ‘mendiamkan’ diri buat seketika. Dia mahu peminat di Malaysia merasai kehadirannya dan boleh menerimanya seperti dahulu.

“Apa yang telah saya lalui sepanjang tempoh dua tahun ini memang telah banyak mendewasakan saya. Banyak pengalaman yang telah saya perolehi sama ada pahit atau manis. Kini saya rasa lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dalam dunia nyanyian. Saya akan berusaha untuk yang terbaik dan tidak akan menoleh ke belakang lagi,” cerita Aliff yang enggan memburukkan mana-mana pihak sepanjang ‘kehilangannya’ itu.

Berbalik kepada pembikinan album terbarunya, menurut Aliff, semuanya masih di peringkat awal. Dia masih menantikan lagu-lagu yang sesuai untuk dipilih dan dimuatkan dalam album yang masih mengekalkan genre muzik yang sama itu nanti.

“Untuk album baru saya, saya juga ada mencuba menggubah dan menulis lirik beberapa buah lagu. Tetapi tidak tahulah sama ada akan diterima oleh pihak rakaman. Mudah-mudahan ada yang terpilih walaupun satu,” ujar Aliff lagi.

Ditanya tentang perancangan masa hadapannya, rupa-rupanya anak muda yang teringin mencuba bidang lakonan dan pengacaraan ini mahu terus berada dalam indusri buat sepanjang hayatnya.

“Kalau saya tidak menyanyi, saya ingin berada di belakang tabir. Mungkin sebagai komposer atau penulis lirik.”

Kepada peminat Aliff yang berada di Kuantan, Pahang, jangan lupa saksikan persembahan daripadanya yang akan beraksi di Konsert THR Gegar di Kuantan Parade pada 8 Ogos ini pada jam 8 malam.

Post a Comment

0 Comments