Tini, Kieran Seronok Puasa Dengan 'Orang Baru'

Ramadhan tahun ini memberikan pengalaman baru kepada dua penyampai Hot FM iaitu Tini dan Kieran. Ini kerana masing-masing sudah mempunyai orang baru dalam hidup mereka. Kalau Tini ditemani oleh suaminya Nur Sulhi Jasmin, Kieran pula ditemani oleh isteri dan anaknya yang baru berusia enam bulan iaitu Muhammad Adam.

Ditemui semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan Anak Yatim anjuran Rangkaian Radio Media Prima Hot FM dan Fly FM kelmarin, Tini memberitahu yang tahun ini dia berasa agak teruja untuk berpuasa kerana ini kali pertama dia berpuasa dengan suami tersayang.


“Ramadhan tahun ini memang cukup berbeza bagi Tini sebab ini kali pertama menyambut Ramadhan bersama suami. Rasa teruja pun ada. Yelah, dulu saya hanya berbuka bersama keluarga atau teman-teman, tapi sekarang ini bersama suami pula. Suasananya sudah sedikit berlainan.

“Buat masa ini saya masih belum sempat memasak juadah berbuka puasa untuk suami kerana dari hari pertama berpuasa hari itu kami berbuka di rumah keluarga saya di Bandar Utama. Berbuka ramai-ramai lebih seronok,” cerita Tini dengan ramah.

Berkongsi cerita tentang selera suaminya di bulan puasa, rupa-rupanya Tini cukup bertuah kerana suaminya tidak cerewet dalam soal makanan.

“Nasib baiklah suami saya tidak terlalu memilih atau ‘demand’ ketika mahu berbuka atau bersahur. Selalunya untuk berbuka, kami akan makan kuih-muih terlebih dahulu. Antara yang menjadi pilihan seperti kuih seri muka, keropok lekor, popiah basah atau murtabak. Selepas makan hidangan ini, barulah kami makan menu yang berat-berat. Satu lagi menu yang wajib ada ialah minuman kopi. Saya dan suami mesti nak minum kopi. Kalau tidak, mesti rasa tidak puas.


“Untuk bersahur pula, Tini akan panaskan lauk-lauk yang dimakan ketika berbuka sahaja. Bukan apa, tidak mahu membazir. Lagipun, lauk-lauk itu emak yang bekalkan. Maklumlah, kami sering berbuka di rumah keluarga,” jelas Tini yang ingin perbanyakkan sedekah pada bulan mulia ini.

Beralih kepada Kieran pula, penyampai yang bergandingan dengan AG dalam segmen Hot FM Jam ini nampaknya cukup seronok berpuasa tahun ini. Ini kerana sudah ada yang pandai ‘mengganggu’ apabila dia dan isteri ingin berbuka.

“Memandangkan saya bertugas dari jam 4 petang hingga 8 malam, jadi saya hanya berkesempatan berbuka di rumah kalau saya sedang bercuti. Nasib baik puasa pertama hari tu saya sempat berbuka bersama keluarga. Tengah sibuk-sibuk hendak berbuka, anak saya Adam pun sibuk hendak berbuka sama. Kalau boleh semua makanan yang saya dan isteri makan, dia pun hendak makan. Seronok juga melayan kerenah Adam ini. Barulah saya tahu macamana rasanya ada anak kecil.


“Malam pertama hendak berpuasa pula, Adam sudah tidak tidur. Jadi sampai ke waktu sahurlah saya dan isteri terpaksa berjaga. Ini antara cabaran yang terpaksa kami tempuhi sepanjang bulan puasa ini. Kalau masa saya bujang dulu lain pula ceritanya. Saya memang ‘liat’ hendak bersahur.

“Apa yang saya buat ialah saya akan letakkan sebotol minuman 100+ di tepi katil. Apabila terjaga, saya akan minum 100+ tu sampailah habis. Itu sahajalah menu sahur saya. Sekarang saya bangun sahur, tapi masih tidak boleh makan yang berat-berat. Jadi, saya hanya minum segelas air bersama beberapa keping biskut. Bolehlah tahan sehingga waktu berbuka,” cerita Kieran panjang lebar.

Post a Comment

0 Comments