Zed Zaidi: Tuhan Yang Bagi


Zed Zaidi is one busy man. Pernah sebelum ini GUA terlepas peluang untuk temuramahnya kerana beliau perlu bergegas ke tempat lain.

Bertemunya semalam di jamuan berbuka puasa Aquila Emas dan Celeb Nexus, bertempat di SACC Convec, Shah Alam nyaris-nyaris terlepas peluang lagi apabila diberitahunya dia perlu berkejar ke USJ, Subang Jaya untuk menyambung penggambaran 'A.D.A.M 5'.

Tetapi sudi diluangkan masa berbuka untuk berbual dengan GUA tentang perkembangan terkininya. Maklumlah, sudah lama rasanya tidak mendengar khabar dari aktor ini.

Antara projek lakonannya, filem 'Niyang Rapik' dan 'Cinta Semerah Stileto' serta telemovie 'Pertama Raya Datang Lagi' dan 'Ku Ingin Di Samping Mu'. Di samping itu, latihan untuk 'Impak Maksima The Musical' yang bakal dipentaskan di Singapura pada 17 - 18 Oktober ini sedang giat dijalankan.

"Tuhan yang bagi," katanya tentang rezekinya yang melimpah ruah itu.

Kongsi anak muda berusia 29 tahun ini, misinya sebagai anak seni bukan untuk anugerah atau populariti. Sudah 10 tahun berkecimpung di dalam bidang seni, dia sedar kehidupan seorang artis bagai sebuah roda yang ada naik dan turunnya.

Baginya, lebih baik jika dikekalkan apa yang dia ada sekarang ini. "Job selalu ada, orang pun kenal kita."

"Tapi penat sikitlah puasa tahun ini sebab kerja. Selain penggambaran 'A.D.A.M 5', perlu juga berlatih untuk 'Impak Maksima', kena menyanyi, menari, berlakon dan menghafal dialog. Sebab ada kemasukan beberapa orang baru, risau juga. Teater berlainan dari drama. Di atas pentas, reaksi perlu cepat, spontan. Takde ruang untuk kesilapan. Untuk drama, jika silap boleh buat lagi."

Kerja kuat untuk keluarga, anak-anak
Di samping lakonan, anak jati KL ini juga sibuk menguruskan tiga buah syarikatnya yang diusahakan bersama rakan kongsi. ZED Resources syarikat pengurusan acara, DMB Kembara Sdn Bhd membekalkan peralatan saintifik sementara Bintang Dahlia Sdn Bhd mengendalikan urusan hartanah. Dalam perancangan, ingin dibuka sebuah francais tetapi enggan dikongsi apa francais itu.

Dedah Zed, bukan rancangannya untuk menceburi bidang seni. Tetapi bila sudah diberikan peluang, dia pun tidak pandang belakang. Matlamat jangka panjangnya adalah bisnes. Namun secara tak langsung, kerjaya seninya membantu dalam perniagaannya.

"Kerana lakonan, orang kenal Zed Zaidi. Jadi bila dah kenal, lebih senang untuk 'deal', untuk memohon pinjaman."

Bila dicadangkan menumpukan saja perhatian pada perniagaannya, katanya, "Selagi orang nak saya, saya buat. Kita tak boleh tolak rezeki. Lagipun saya jenis yang tak menolak bila kawan meminta."

Mengakui dirinya seorang 'workaholic', katanya pada usia muda-lah kita perlu bekerja kuat. Rezeki yang dikumpul adalah untuk keluarga dan anak-anaknya kelak.

Tiada masa dating
Jika ada masa terluang, akan dihabiskannya melayan MySpace, Facebook dan blognya, zedzaidi.blogspot.com. Di sini dicurahkan perasaan, kritikan dan pendapatnya tentang industri seni serta digunakannya sebagai platform untuk memperjuangkan haknya bersama teman-teman lain sebagai artis.

Angkara penulisannya di blog, tercetus sedikit kontroversi di antaranya dan pengarah muda Syamsul Yusof beberapa bulan lalu. Bagi Zed, perkara itu merupakan asam garam bila seseorang bergelar artis.

"Sebenarnya masalah itu kecil saja, salah faham dari segi penulisan. Iya-lah saya pun baru bermula nak berjinak dengan dunia penulisan. Saya pun tulis 'straight' je, tiada koma, titik noktah ... jadi bila baca tu, ayat itu telah disalahertikan," jelasnya.

Tambahnya, "Perhubungan saya dan Syamsul okay. Jika jumpa, saya akan tegur. Tapi belum berpeluang lagi sebab masing-masing pun sibuk. Biasanya kawan-kawan artis ni hanya berpeluang berjumpa jika ada 'function'."

Dengan kerjaya seni, bisnes dan blognya, Zed akui tiada masa untuk berdating. Tetapi terus terang dinyatakan ramai gadis yang mendampinginya.

"Kalau nak cari gadis untuk dijadikan isteri, itu kena cari betul-betul. Tapi buat masa ini, susah nak mencari seorang yang boleh menerima jadual saya yang padat dengan kerja dan selalu kena berkejar ke sana sini," katanya.

Post a Comment

0 Comments