Fizo Berhabis RM5,000 Untuk Raya


Walaupun masih baru dalam industri hiburan tanah air, tetapi Aidilfitri tahun ini cukup berbeza bagi Fizo Omar. Ini kerana kelibatnya sudah ramai yang mengenali. Ramadhan ini sahaja, banyak undangan majlis berbuka puasa yang perlu dipenuhi walaupun sibuk di lokasi penggambaran.

Jadi tidak hairanlah, tahun ini Fizo berbelanja lebih daripada biasa apabila dia memperuntukkan RM5,000 untuk perbelanjaan Rayanya.

“RM5000 itu bukanlah semuanya saya belanjakan untuk diri saya sendiri. Tetapi ia termasuk membeli barangan keperluan untuk keluarga, biskut raya dan juga duit raya untuk kanak-kanak yang akan datang beraya nanti. Selain itu, saya juga bercadang menggunakan bajet tersebut untuk majlis kesyukuran pada Hari Raya nanti. Insya Allah kalau semuanya ok, majlis ini akan diadakan di kampung saya, Pasir Puteh pada hari raya keempat. Bukan tidak mahu adakan di Kuala Lumpur, tetapi di kampung saudara-mara lebih ramai,” ujar Fizo yang ditemui semasa majlis berbuka puasa dan pelancaran filem ‘Andartu Terlampau’ baru-baru ini.

Ditanya berapa lama dia akan bercuti raya pada tahun ini, Fizo memberitahu dia akan bercuti lebih daripada seminggu kerana selain daripada beraya di Pasir Puteh, dia juga akan pulang ke Narathiwat, Thailand bagi menziarahi saudara-mara ibunya di sana.

Bagi yang ingin menemui Fizo pada Hari Raya ini mungkin anda boleh singgah di gerai bahulu milik ayahnya. Ini kerana setiap kali pulang ke kampung, pasti Fizo akan membantu ayahnya di gerai yang dinamakan Gerai Bahulu Selising itu memandangkan ia terletak hanya di hadapan rumah mereka.

“Setiap kali pulang ke kampung, saya memang selalu bantu ayah di gerai. Sudah 15 tahun ayah saya berniaga dan sambutan agak memberangsangkan. Bahulu yang dijual di sini agak istimewa berbanding di tempat lain. Selain terdiri daripada beberapa perisa seperti pandan, jagung dan gula melaka, terdapat juga kek bahulu berperisa serunding, kacang dan kismis. Beberapa kuih tradisional Kelantan juga ada,” cerita Fizo yang sempat memberitahu gerai bapanya hanya ditutup pada Hari Raya pertama sahaja.

Jadi, kepada peminat Fizo yang ingin bertemu dengan pelakon ini secara lebih dekat, apa kata anda mencuba nasib dengan berkunjung ke gerai bahulu milik ayahnya itu. Kalau tidak berjumpa dengan Fizo pun, anda boleh membeli bahulu istimewa yang dengarnya agak popular di Selising.

Sedikit info tentang lakonan Fizo, pelakon ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie ‘Bonanza’ yang akan bersiaran di Astro selepas Aidilfitri ini. Dalam telemovie ini, Fizo memegang watak hero di samping aktress popular, Erra Fazira. Ketika ini Fizo sedang sibuk di lokasi drama bersiri ‘Rumi dan Juli’ yang akan disiarkan di saluran RTM tidak lama lagi. Kali ini dia berlakon di sisi Fasha Sandha pula.

Post a Comment

0 Comments