Sedihnya hati seorang ibu apabila terpaksa berhari raya tanpa kehadiran anak-anak di sisi. Apabila bersendiri, tentunya pelbagai kenangan indah bersama anak-anak muncul di kotak ingatan. Sebagai ibu tunggal, Aidilfitri kali ini tidak begitu dirasai dan dia juga masih belum membuat keputusan untuk berhari raya di mana.
“Saya masih belum membuat sebarang keputusan mengenai lokasi untuk berhari raya pada tahun ini. Mungkin saya akan ditemani adik, Nor Asiah Idris dan kami akan berhari raya sambil bercuti di Sabah. Tapi itu semua masih dalam perancangan lagi,” akui penyanyi yang cukup dikenali melalui irama etnik ini.
Sejak berpisah dengan bekas suami Fareez, anak-anaknya banyak menghabiskan masa bersama ayah mereka. Bagi yang mendengar, mungkin apa yang dikatanya mengundang rasa kurang senang. Namun, sebagai ibu yang memahami hati anak-anak, Noraniza Idris atau mesra di sapa Kak Ani tidak mahu anak-anaknya sunyi jika berhari raya bersamanya.
“Saya rasa lebih baik Afiq dan Alif berhari raya bersama ayah mereka. Lagipun keluarga Fareez besar, sudah pasti anak-anak meriah dengan kehadiran ramai sepupu. Lagipun nenek mereka (ibu Fareez) masih ada. Kalau berhari raya dengan saya, bimbang pula mereka akan sunyi kerana kedua ibu bapa saya sudah meninggal, adik-beradik pula akan berhari raya dengan keluarga atau mertua masing-masing,” jelas Kak Ani.
Bagi sesetengah ibu, mungkin agak sukar menerima hakikat anak-anak berhari raya bersama bekas suami, apatah lagi jika bekas suami sudah berkahwin lain. Perasaan ini pernah menghantui pelantun “Tingting” ini.
“Ketika mula-mula berpisah dulu memang saya sukar menahan kehendak hati agar menjauhkan anak-anak daripada bekas suami. Namun selepas beberapa ketika, saya terfikir tiada guna menghalang kemesraan anak-anak dengan ayah mereka. Lagipun, saya tahu anak-anak selamat dengan ayah mereka dan keluarganya juga penyanyang,” jelasnya.
Masih bersendiri, Kak Ani tidak menolak andai ada jodoh buatnya di masa akan datang. Namun, kegagalan perkahwinan sebanyak dua kali membuatkan dia kini sentiasa berhati-hati apabila bergaul dengan kaum Adam.
“Siapa yang tidak mahu hidup berpasangan? Saya pernah bersuami, tentunya kesunyian itu dirasai. Sekiranya dipertemukan jodoh lagi, biarlah dengan lelaki yang boleh membimbing, bertanggungjawab dan yang boleh memberi perhatian,” akui penyanyi yang sudah berkecimpung dalam dunia hiburan sejak tahun 1986.
NPIV ganti NIP
Minatnya dalam bidang kebudayaan memang tiada tolok bandingnya. Kerana minat itu juga dia membuka sebuah produksi Noraniza Idris Production (NIP) bersama seorang teman. Tujuannya untuk memartabatkan lagi kebudayaan Malaysia.
Tetapi, panas yang disangka berpanjangan dihalang hujan di tengahari. Teman yang disangka kawan rupanya menikam dari belakang. Banyak rancangan yang diatur terpaksa dibatalkan gara-gara penipuan yang dilakukan teman.
Akhirnya NIP terpaksa dibubarkan. Pembubaran NIP tidak pernah mematahkan semangatnya. Kali ini dia bergerak sendiri dengan menubuhkan Noraniza Idris Production Ventures (NPIV).
Melalui syarikat baru ini, dia kembali bersemangat memartabatkan kebudayaan tanahair tercinta. Selepas Aidilfitri, Kak Ani akan tampil dengan sebuah album etnik yang menampilkan pelbagai irama seperti zapin, joget serta irama etnik pribumi yang diadun bersama rentak moden.
“Ada enam lagu baru dan empat lagu lama yang diberi nafas baru. Salah sebuah lagu yang akan dimuatkan ialah “Enjut”, lagu duet bersama Fabulous Cats,” terangnya.
0 Comments