Ucapan Kasih Alif Pada Ibu Bapa Di Pagi Raya


Masih dalam usia belasan tahun, Alif Satar yang baru saja menyambut harijadinya yang ke-19 semalam, merasakan dirinya sudah tua.

"Rasanya sudah begitu banyak yang telah saya lalui. Tua dah rasanya," kata finalis musim pertama One In Million ini sambil ketawa.

Namun, tidak pernah disesali perjalanan hidupnya. "Tak pernah saya merasakan akibat pembabitan saya dalam bidang seni, saya terlepas zaman remaja saya. Saya masih perlu melakukan kerja-kerja rumah, saya pernah jatuh cinta, dilukai, dimarahi ...

"Saya mempunyai semua yang diimpikan seorang remaja - kereta pertama saya pada usia 17 tahun, rumah pada 18 tahun, dan jika ibu bapa memberikan 'greenlight', motosikal untuk harijadi ke-19 saya.

"Saya juga mempunyai kerjaya yang saya sukai. Life is good," ujarnya yang sudah tiga tahun berpacaran dengan teman wanitanya.

Alif juga berkongsi yang segala pencapaiannya hari ini adalah berkat daripada sokongan kedua ibu bapanya.

“Seperti ibu bapa lain, mereka bimbang juga bila saya tiada tawaran kerja. Tetapi mereka faham begitulah kehidupan seorang artis, ada naik dan turunnya. Mereka tahu ini minat saya dan mereka memberikan 110 peratus sokongan.”

Rutin Raya pertama
Tatkala di pagi Raya, bila rata-rata muslimin dan muslimat sedang bersalaman dan bermaafan, Alif tidak pernah lupa untuk memberitahu betapa sayangnya dia pada orang tuanya.

"Saya akan minta mereka halalkan makan minum saya and I tell them how much I love them. And what wonderful parents they are. Masa tu, biasalah, semua akan emosional. Then I'll say something stupid and we'll laugh," katanya tersenyum.

Tambahnya, pada Hari Raya pertama, selepas sembahyang raya, mereka akan sibuk menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu. Kecuali hidangan ketupat dan lemang yang lebih senang dibeli, semuanya disediakan sendiri oleh ibunya.

"Kami tak pernah ‘cater’. My mom makes the best kari kambing in the world!" umum Alif dengan bangga.

Sejak bergelar artis, sudah tiga tahun Alif sekeluarga tidak berpeluang menyambut Raya pertama bersama atuk di Balik Pulau, Pulau Pinang. Tahun ini juga kerana terlibat dalam beberapa program Raya, Alif dan keluarga hanya akan berangkat pulang ke kampung beberapa hari selepas Raya.

Sempena dengan Raya ini, dia bersama Aliff Aziz telah merakam semula lagu klasik Raya, "Balik Kampung", dendangan asal Sudirman.

Kerjasama itu, kongsi Alif, merupakan ide dari syarikat rakaman mereka, Sony Music, memandangkan mereka mempunyai persamaan dari segi usia dan genre lagu yang dinyanyikan. Peluang itu juga digunakan Sony untuk memperkenalkan dua artis remaja terbaru mereka ini.

Tidak berkenan "Jangan Nakal"
Juga sedang hangat dimainkan di corong-corong radio ialah single pertama dari albumnya (bakal diriliskan pada Oktober ini), "Jangan Nakal". Maklum balas yang diterima sehingga kini amat baik. Bagaimanapun, pada awalnya, Alif tidak berapa berkenan dengan lagu tersebut.

"Bagi saya, ia terlalu 'bubble gum pop' dan lagu-lagu pop tidak memberikan banyak ruang untuk kita bereksperimen. Hajat saya mahu mengetengahkan lagu-lagu yang berlainan dari apa yang biasa didengari.

"Saya juga tak merasakan pendengar akan menyukainya (lagu “Jangan Nakal”). Tapi syarikat rakaman minta saya mencuba, dan terbukti, mereka betul. Ia sebuah lagu yang 'catchy' dan 'fun'.

"Lagipun saya masih muda, hanya 19 tahun. Banyak masa lagi untuk mencuba sesuatu yang lebih matang."

Post a Comment

0 Comments