Kehadiran Syawal tahun ini sangat dinantikan Emeelya Elyana Emrizal atau Elyana. Semenjak bergelar tunang kepada Khairul Anuar Husin Julai lalu, dia kini semakin berseri-seri dan ceria apatah lagi tunang tersayang sentiasa menemaninya dalam banyak majlis yang dihadiri.
Paling mengujakan, kata Elyana, pada Hari Raya kedua nanti, dia akan mengikut Khairul pulang ke kampung halaman keluarganya di Lanchang, Pahang.
“Semenjak kami mula berkawan tiga tahun lalu, inilah kali pertama saya mengikutnya. Khairul merupakan anak yatim piatu, selalunya dia akan berhari raya bersama adik-beradiknya di Kuala Lumpur sahaja. Jadi raya nanti dia bercadang membawa saya melawat kubur arwah ayah dan ibunya disamping melawat saudara-mara yang masih tinggal di sana,” jelasnya.
Sebagai anak kota, Elyana sudah terbiasa berhari raya di sekitar Lembah Kelang kerana keluarga sebelah ibunya berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Manakala keluarga sebelah bapanya berasal dari Pandamaran, Klang.
“Sejak kecil, rutin Hari Raya kami sekeluarga berhari raya di rumah sendiri di Shah Alam, kemudian akan ke rumah nenek di Kampung Pandan dan Pandamaran. Apabila ada peluang untuk beraya di tempat lain, kemeriahan itu cukup dirasai,” tambahnya.
Sepanjang Ramadhan dan Syawal ini, Elyana tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana ingin berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga.
“Memang saya sengaja tidak menerima sebarang tawaran kerana ingin berehat sepenuhnya. Lagipun kedua ibu bapa saya bakal ke Tanah Suci Mekah selepas Aidilfitri nanti, rasanya elok sangat kalau saya menghabiskan masa bersama mereka. Lagipun semasa ketiadaan mereka, saya bertanggungjawab menjaga adik-adik,” jelasnya.
Mengenai persiapan Raya pula, Elyana tidak begitu memilih. Apa yang dirasakan sesuai dengan citarasa dan selesa pada badan, dia akan membelinya.
“Namun untuk tahun ini saya menempah empat pasang baju raya, itupun lebihan kain raya lepas,” akui Elyana yang banyak mengikut nasihat tunangnya agar tidak membazir.
Mengenai menu kegemaran pula, Elyana dan keluarganya akan menghidangkan rendang ayam kepada tetamu. Manakala tunangnya pula menggemari rendang daging dan hidangan itu wajib ada setiap kali Khairul datang bertandang ke rumahnya pada Hari Raya.
Selepas banyak kejayaan diraih dalam album sebelum ini, Elyana akan tampil dengan single terbaru hujung tahun ini. Single yang masih belum berjudul itu dicipta komposer Aidit Alfian.
0 Comments