Syawal Kedua Maya Dan Steve


Tinggal dua hari sahaja lagi Syawal bakal menjelma, ini bermakna kita semua akan mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadhan yang dilalui penuh tawaduk oleh semua umat Islam. Setiap yang bermula pasti akan berakhir, begitu juga dengan bulan Ramadhan penuh keberkatan.

Bagi pasangan yang sudah berumahtangga pastinya tidak sabar menyambut kehadiran Aidilfitri yang akan dirayakan bersama orang tersayang. Mungkin inilah tahun pertama mereka beraya sebagai pasangan atau mungkin juga ini tahun pertama mereka berhari raya bersama kehadiran cahaya mata pertama. Yang pastinya, kehadiran Syawal memang dinanti segenap lapisan masyarakat.

Maya Karin antara ribuan umat Islam yang tidak sabar menyambut kedatangan Syawal. Walaupun ini tahun kedua dia berhari raya sebagai isteri, keterujaan menyambut Syawal tetap dirasai.

Bersama suami, Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali, mereka akan menyambutnya di Kuala Lumpur sahaja. Bersuamikan lelaki Eropah, Maya tidak mengambil mudah mengenai menu yang dihidangkan.

“Tahun ini saya teringin menyediakan lontong untuk suami dan tetamu. Inilah azam saya untuk Aidilfitri kali ini. Mungkin sehari sebelum Syawal saya akan mencuba menu itu, jika tiada masalah, saya akan terus memasaknya di pagi Syawal.

“Selain lontong yang menjadi hidangan kesukaan sejak kebelakangan ini, rendang juga antara juadah wajib yang mesti ada di atas meja,” jelasnya.

Baik Maya atau suami, kedua mereka tidak cerewat dalam hal makan minum. Steve misalnya, tidak kekok menikmati hidangan pedas seperti sambal udang yang menjadi air tangan Maya ketika Ramadhan.

Saban tahun Maya dan keluarga berhari raya di rumah ibu bapanya di Sungai Pencala, namun pada tahun ini dia dan keluarganya sudah berpindah ke unit kondominium.

“Sebenarnya rumah itu dalam proses pengubahsuaian, secara tidak langsung, tahun ini banyak masa dihabiskan menjenguk kerja-kerja ubah suai. Malah saya juga dalam proses membeli rumah itu daripada orang tua saya memandangkan ayah saya bekerja di Vietnam dan ibu pula selesa tinggal di unit kondominium,” akui Maya yang akan tampil dengan filem ‘Pisau Cukur’ akhir tahun ini.

Syawal kali ini juga, Maya akan menyambutnya bersama suami dan ibunya sahaja kerana bapa dan dua adiknya berada di luar negara. Beraya berasingan bukan masalah buat keluarga ini kerana mereka sudah terbiasa memandangkan sejak kecil bapanya berjauhan kerana bekerja.

Akui Maya, Syawal kali ini lebih meriah dan paling dinanti kerana pada Syawal yang lalu, dia dan suami tidak dapat merayakannya dengan sempurna kerana majlis perkahwinan mereka dilangsungkan ketika menghampiri Ramadhan.

“Tahun ini kami mempunyai banyak masa berbanding tahun lepas. Rasanya tiada masalah untuk membuat persiapan raya. Saya dan suami akan menyediakan beberapa pasang baju raya dan dia juga selesa berbaju Melayu,” tambah Maya.

Bercakap soal keluarga, Maya dan Steve tidak sabar untuk memiliki keluarga sendiri dalam waktu terdekat. Mereka berserah kepada-Nya agar apa yang diimpikan menjadi kenyataan.

Post a Comment

0 Comments