Kasih Seorang Afdlin


Dia seorang lelaki, suami, ayah, penyanyi, pelakon dan karyawan. Berilah apa jua gelaran kepadanya, dia tetap begitu, seorang suami dan ayah penyayang, seorang penggiat filem kreatif serta seorang pelakon dan penyanyi versatil.

Menonton buah tangan terbaru Afdlin, sekalung tahniah dan pujian harus diberikan. Ternyata filem ‘Papadom’ arahannya bukan sahaja diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke -22 (FFM-22), malah dia juga turut diangkat sebagai pelakon lelaki terbaik FFM-22.

Jalan cerita ‘Papadom’ berbeza daripada filem-filem arahannya sebelum ini yang kebanyakannya berunsurkan komedi. Melalui ‘Papadom’, Afdlin menggabungkan kepakaran humor yang dimilikinya bersama drama kekeluargaan.

“Sebenarnya saya mula terfikir untuk menghasilkan karya kekeluargaan selepas menonton filem Yasmin Ahmad, ‘Talentime’ dan saya merupakan peminat filem itu. Kekurangan filem-filem sebegini di Malaysia membuatkan saya terpanggil untuk menghasilkan ‘Papadom’ yang memfokus perjalanan hidup seorang ayah dalam membesarkan anak perempuan tunggal dan dalam masa sama menjalankan perniagaan makanan,” kata Afdlin.

Sebagai bapa kepada tiga orang anak, Afdlin mahu mengabdikan kasih sayang seorang bapa yang ada padanya melalui filem ini. Malah, ‘Papadom’ juga berinspirasi daripada keluarga, terutamanya tiga anak comel yang kian membesar.

“Inilah pertama kali filem bergenre drama komedi dipilih sebagai filem terbaik. Ini membuktikan genre sebegini mempunyai nilai tersendiri dan tidak dipandang sepi,” akuinya.

Selain memenangi Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik, ‘Papadom’ turut mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Cerita Asal Terbaik (Afdlin), Pelakon Wanita Terbaik (Liyana Jasmay) dan Skor Muzik Asal Terbaik (Pacai) pada FFM lalu.

Bezanya filem Afdlin kali ini, setiap babak digarap dengan penuh humor dan bersahaja. Malah penonton akan tertawa, menangis dan tertawa semula sehingga ke babak akhir. Begitu indah karya Afdlin kali ini, sehingga penonton tidak terasa perjalanannya.

‘Papadom’ bermula apabila pasangan suami isteri, Saadom dan Munirah (Norkhiriah) membuka perniagaan nasi kandar di sebuah lorong di Pulau Pinang. Kerana keenakan papadom yang dihasilkan, berjaya menarik minat Alan (Pete Teo) dan Ali (Adam Malik) untuk bekerjasama dalam perniagaan.

Daripada gerai di tepi lorong sehinggalah berjaya membuka beberapa cawangan dan membuka kilang membuat papadom, mereka bertiga terus bekerjasama. Namun dibalik kejayaan yang dicapai, Saadom terlupa memberikan perhatian kepada anak dan isteri sehingga menyebabkan kemalangan yang membunuh Munirah.

Semenjak itu Saadom tidak pernah lekang daripada Miasara (Liayana Jasmay) sehinggalah anak gadisnya membesar. Tanggungjawab dan kesukaran yang dihadapi Saadom ialah melepaskan anaknya berdikari walaupun Miasara mampu menjaga dirinya sendiri.

‘Papadom’ turut dibintangi Vanidah Imran, Que Haidar, Farid Kamil, Scha, Chelsia Ng dan Harun Salim Bachik. Filem mesti tonton ini akan berada di pawagam pada 8 Oktober 2009.

Post a Comment

0 Comments