Erma Fatima: Umie Aida Bukan Pilihan Saya


"Dia (Umie Aida) sebenarnya tidak berapa sesuai untuk membawakan watak Che Aminah," umum Erma Fatima ketika sidang media teater 'Natrah' semalam.

Selaku pengarah 'Natrah', Erma menjelaskan adiknya itu terlalu cerah warna kulitnya sementara raut wajahnya yang lembut dan klasik tidak seperti Aminah yang dibayangkan.

"Saya tidak mahu melihat Embun (watak Umie dalam filem tahun 2002 itu, arahan Erma). Aminah, pada saya, seorang yang tegas. Dia seorang ahli perniagaan dan di hormati orang Jepun. Dia satu tokoh yang dominan dan ciri itu harus ada dalam Umie.

"Walaupun dia bukan calon pilihan saya tetapi selepas di transformasikan, dia mampu membawa watak Aminah. Tapi dalam proses itu dia akan 'memalapetakakan' dirinya," katanya sambil tersenyum.

Dedah Erma, apabila mengarah orang yang rapat dengan dirinya, kurang tahap kesabarannya. Lebih-lebih lagi apabila dia tahu sejauh mana tahap lakonan individu tersebut.

"Sebab itu saya selalu mengharap dia (Umie) akan memberi apa yang saya inginkan. Tetapi sudah beberapa kali sebelum ini, di mana hanya selepas saya maki dia, barulah dia boleh buat dengan lebih baik."

Percaya kebolehan Diana, Remy
Seperti Umie yang telah di cadangkan pihak Istana Budaya untuk membawa watak Che Aminah, begitu juga Diana Danielle dan Remy Ishak, masing-masing untuk karektor Natrah dan Mansor Adabi.

Bila ditanya sejauh mana kemampuan kedua pelakon baru itu untuk membawa watak-watak tersebut, Erma lantas memuji bakat lakonan mereka.

"Diana boleh berlakon. Dia bagus. Saya pernah arahkannya di dalam drama 'Cinta Bulan Dan Mentari' dan melihat beberapa drama lakonannya. Tapi rasa saya, bakatnya belum lagi di 'exploit' dengan sepenuhnya.

"Saya nak gunakan kesempatan 'Natrah' untuk lihat sejauh mana kemampuan dan tahapnya. Dia bagus tapi saya nak tengok sebagus mana dia itu. Tapi saya yakin dia boleh lakukannya."

"Remy pula," kongsi Erma, "sudah lama saya idam untuk mengarahkannya. Raut wajahnya seperti lelaki Melayu terakhir. Dia seorang pelakon yang hebat dan berbakat."

Fokus pada kebangkitan orang Islam
Untuk teater 'Natrah', Erma memberitahu dia tidak mahu fokuskan cerita pada penderitaan seorang ibu yang kehilangan anaknya. Sebaliknya yang ingin diketengahkan adalah kebangkitan orang Islam di saat kehilangan Natrah.

"Kita sudah kehilangan ramai Natrah tanpa di sedari. Adakah kita akan terus kehilangan mereka atau perlukah kita membuat rusuhan sekali lagi agar kita tidak lagi kehilangan lebih ramai Natrah?

"Isu ini agak sensitif, oleh itu ia harus di sentuh dan di olah dengan lembut agar tidak mengguris hati sesiapa."

Dedahnya lagi, apabila mendapat tawaran mengarah 'Natrah', diluahkan hasratnya untuk ke Belanda dan bertemu beliau. Tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila Natrah meninggal dunia.

"Tujuan saya ke sana bukan untuk mengetahui dengan lebih mendalam kisah hidupnya. Semua kajian tentang dirinya telah dibuat Datin Fatini Yaacob dan diserahkan kepada saya.

"Saya cuma nak tahu adakah Allah masih di dalam hatinya. Adakah dia masih mempunyai kasih dan cinta kepada Islam. Itu yang saya nak dengar darinya. Tapi saya ralat tak sempat berbuat begitu."

Teater 'Natrah' akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 17 - 25 November.

Post a Comment

0 Comments