Aaron Aziz Jadi Ustaz Dalam Filem Baru


Watak-watak seperti gangster, komedi, jejaka romantis dan lelaki ego, semuanya pernah dibawakan oleh Aaron. Tidak dinafikan, pelakon yang merupakan wajah eksklusif Astro ini berjaya mencorakkan apa saja watak yang diberikan kepadanya dengan cukup berkesan.

Inginkan lebih banyak kelainan atau kepelbagaian di dalam watak-watak yang dibawanya, Aaron sanggup memikul cabaran untuk memainkan peranan sebagai seorang ustaz di dalam filem terbitan , dengan kerjasama De Baron Production dan Dr Movie Production berjudul Cempaka. Kata Aaron, ini merupakan kali pertama dia cuba membawakan watak 'alim' seperti itu.

"Ketika pertama kali saya ditawarkan watak ini, isteri saya, Diyana bertanyakan pada penulis skirp filem itu, Imran Ismail sama ada saya sesuai atau tidak memegang watak ustaz. Tetapi Imran menegaskan, sekarang ini memang sudah ramai pelakon yang membawakan watak 'ustaz muda', jadi tidak timbul isu sesuai atau tidak.

"Cuma sekarang ini, terserah kepada saya untuk mencorakkan watak itu nanti. Tetapi saya memang teruja untuk membawa watak ini, memang jauh berbeza dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Tambahan pula jalan cerita ini memang mempunyai mesej tersendiri. Sekaligus, watak tersebut juga mampu membawa keinsafan untuk diri saya sendiri," kata Aaron yang merupakan duta untuk produk L'oreal Men dan Celcom ini.

Filem suspense-thriller yang menelan belanja kira-kira RM3.5 juta ini akan memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Sik, Kedah awal bulan depan. Skripnya dihasilkan oleh Imran Ismail manakala pengarahnya pula ialah pelakon Hairi Othman.

Selain Aaron, filem ini akan dibintangi sendiri oleh pemilik Yasmin Khanif Production iaitu Yasmin sendiri, membawakan watak Cempaka, Hairi Othman, Iqbal Juara Pilih Kasih, Faizal Hussein, Suhaila Salam dan Azhar Sulaiman. Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang perjalanan mayat bernama Hassan sebelum dikebumikan yang mana jenazahnya menempuh pelbagai halangan ketika diuruskan. Pada masa yang sama, ia juga memaparkan tentang kehidupan sosial Cempaka yang bergelumang dengan dosa.

Bagi menjiwai watak tersebut, ujar Aaron, memang dia perlu melakukan kajian yang lebih, terutamanya daripada segi sebutan ayat-ayat Al-Quran.

"Kalau berdasarkan skrip, watak ini tidaklah banyak sangat cabarannya. Tetapi apa yang perlu saya telitikan ialah dari segi sebutan ayat Al-Quran kerana watak ini memerlukan saya mengaji. Sebagai orang Islam, memang saya tidak ada masalah tentang mengaji, tetapi saya kena lebih berhati-hati dari segi sebutan...kena baca dengan betul," katanya yang bakal menimang cahaya mata ketiga tidak lama lagi.

Post a Comment

0 Comments