Kes prosiding tuntutan edah dan mutaah bekas isteri penyanyi Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabuddin yang berumur 46 tahun akan ditangguh pada 15 Mac. Hakim Syarie Ghazali Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan peguam kedua-dua pihak plaintif dan defendan. Beliau menangguhkan prosiding petang semalam bagi mendapatkan pengesahan Jabatan Insolvensi bahawa bekas isteri Hattan iaitu Arianie Mohd. Abdidin yang berumur 39 tahun, dibenarkan diwakili peguam dalam kes itu.
Menurutnya, ia juga untuk membolehkan kehadiran pegawai jabatan itu memberikan kenyataan berhubung status bankrap Arianie yang juga seorang pramugari termasuk tarikh dia diisytiharkan muflis. Hattan yang sebelum ini tidak hadir pada prosiding berpenampilan kemas berkot berwarna perang, bersongkok dan bercermin mata gelap diwakili dua peguam iaitu Roshdan Sujak Rafie dan Mohd. Faiz Adnan.
Arianie yang berbaju kurung kuning dan bertudung hitam pula diwakili Peguam Syarie, Harziah Othman. Sepanjang prosiding, penyanyi berkenaan dilihat kerap memandang ke arah bekas isterinya. Harziah yang ditemui kemudian berkata, pegawai insolvensi terbabit akan mengesahkan sama ada beliau dibenarkan mewakili anak guamnya atau tidak.
"Ini kerana bila dia kena arahan bankrap, dia kena mendapatkan pelepasan. Yang dia dapat pelepasan hanya untuk tujuan bekerja bukan prosiding mahkamah, maknanya dia nak diwakili oleh peguam mesti ada (surat pelepasan),"ujarnya. Sementara itu, Mohd. Faiz mempersoalkan rasional kes tuntutan tersebut tertangguh sejak sekian lama ekoran urusan dengan Jabatan Insolvensi itu.
"Sepatutnya ia telah berjalan lama. Kenapa anak guam kami (Hattan) disusahkan dengan tarikh yang begitu lama. Ia menjejaskan anak guam kami. Keduanya, kita berharap isu berkaitan insolvensi ini dipermudahkan. Kalau sekiranya pegawai Jabatan Insolvensi tak perlu datang, tapi prosiding boleh dijalankan menerusi surat rasmi,"jelasnya.
0 Comments